MENERIMA baki dalam bentuk wang syiling adalah sesuatu yang tidak digemari oleh Aidi Izham Mohd. Khalil.
Selalunya jika menerima baki dalam bentuk wang syiling, pemuda itu akan meletakkannya di dalam kereta ataupun akan berakhir di dalam mesin basuh.
“Saya bukanlah seseorang yang suka menyimpan wang syiling sejak dahulu lagi. Kadangkala saya sendiri ada terfikir jika saya menyimpan baki wang syiling yang diterima, berapa saja yang akan dapat saya kumpul,” kata Aidi Izham, 38, kepada K2.
Sekitar tahun 2016, Aidi Izham yang ketika itu bertugas di Permodalan Nasional Berhad (PNB) mula memikirkan tentang pelan perniagaan yang menggunakan wang baki sebagai instrumen pelaburan.
Setelah mengkaji pelan perniagaan bersesuaian, Aidi Izham akhirnya mengambil keputusan membangunkan Raiz Malaysia Sdn. Bhd.
Raiz Malaysia Sdn. Bhd. ialah sebuah syarikat usaha sama antara anak syarikat PNB, Jewel Digital Ventures Sdn. Bhd. (JDV) dan Raiz Invest Australia Ltd. (Raiz Invest). Raiz Invest ialah anak syarikat Raiz Invest Limited yang disenaraikan di Bursa Saham Australia (ASX).
Aidi Izham yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Raiz Malaysia Sdn. Bhd. menjelaskan, Raiz merupakan aplikasi yang membolehkan seseorang itu melabur duit baki daripada pembelian harian secara automatik.
“Sebenarnya saya sendiri seorang yang susah untuk mengumpul duit dan untuk mengembangkannya. Daripada situ saya mendapat idea alangkah baiknya jika wujud satu platform ataupun aplikasi untuk tujuan tersebut.
“Saya berasa jika aplikasi sedemikian dibangunkan, aplikasi itu juga dapat membantu mereka di luar sana untuk sama menyimpan dan melaburkan wang mereka,” katanya yang berasal dari Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Aidi Izham menjelaskan, dia telah bekerjasama dengan Raiz Invest untuk membangunkan aplikasi sedemikian di negara ini.
Pada tahun 2016, sewaktu mengkaji pelan perniagaan, Aidi Izham telah melihat syarikat Acorns di Amerika Syarikat membangunkan satu model pelaburan yang sama difikirkannya.
Tanpa melengahkan masa, dia telah menghubungi pengasas Acorns, Walter Cruttenden yang kemudiannya telah menemukannya dengan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Raiz Invest Australia yang dahulunya dikenali sebagai Acorns Australia, George Simon Lucas untuk berbincang dan menjalinkan kerjasama.
“Bagi meyakinkan Lucas melakukan kerjasama bukanlah sesuatu yang mudah dan saya telah pergi ke Singapura untuk bertemu dengannya. Saya perlu meyakinkannya bahawa platform tersebut boleh dibangunkan dan diterima oleh rakyat negara ini.
“Dia memberitahu, dia tidak boleh datang ke Kuala Lumpur dan jika ingin bertemu dengannya hanyalah di Singapura. Bagi saya, pada waktu itu mungkin dia ingin melihat kesungguhan saya untuk menjalinkan kerjasama, lalu saya telah pergi ke sana,” jelasnya.
Tambahnya, setelah perbincangan dilaksanakan, dia mendapati terdapat beberapa permasalahan untuk membangunkan aplikasi tersebut di Malaysia.
Antara yang dihadapi olehnya adalah berkaitan dana untuk memulakan perniagaan tersebut.
Selain itu, cabaran lain adalah berkaitan pengetahuan, kemahiran dan teknologi maju untuk membangunkan aplikasi itu.
Kemudian, pada tahun 2017, PNB telah mengadakan Cabaran Inovasi PNB untuk stafnya mengemukakan idea dan pelan perniagaan yang boleh diketengahkan.
Tanpa melepaskan peluang tersebut, Aidi Izham mengambil keputusan untuk mengetengahkan idea itu.
“Saya masih ingat, saya hanya diberi masa lima minit untuk membentangkan idea tersebut di hadapan Pengerusi PNB pada ketika itu iaitu Tan Sri Abdul Wahid Omar dan Datuk Abdul Rahman Ahmad yang menjawat jawatan sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif PNB pada waktu itu
“Teruja dan gemuruh, itulah perasaan saya pada ketika itu. Saya perlu yakinkan mereka bahawa model perniagaan itu boleh dibangunkan dan memberi manfaat kepada masyarakat untuk mendidik mereka menyimpan dan melabur,” katanya.
Nasib ternyata menyebelahi Aidi Izham apabila sebelah petangnya, setelah cabaran itu berakhir dia telah diumumkan sebagai salah satu pemenang antara 151 penyertaan.
Kemenangan itu, membolehkan PNB terlibat sama dalam membangunkan pelan perniagaan tersebut dan Aidi Izham diberi tanggungjawab untuk mengetuai Raiz Malaysia.
Akhirnya selepas dua tahun pembentangan idea tersebut, aplikasi Raiz telah dilancarkan pada Jun lalu.
Begitulah kejayaan Aidi Izham bakat muda PNB ini. Aidi Izham merupakan pemegang Ijazah Sarjana Kewangan Islam daripada Pusat Pendidikan Antarabangsa Dalam Kewangan Islam (INCEIF). Sebelum itu, dia merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Komputer daripada Universiti Multimedia (MMU). Biarpun begitu, jejaka ini menyifatkan dirinya lebih cenderung kepada bidang kewangan.
“Saya merasakan jiwa saya lebih ke arah bidang kewangan,” ujarnya.
Aidi Izham menjelaskan, pelbagai cabaran yang dihadapinya untuk membolehkan idea aplikasi Raiz dilaksanakan di negara ini.
“Model perniagaan kita berteraskan pasaran modal dan untuk membolehkannya beroperasi di Malaysia, kami perlu mendapatkan lesen daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia terlebih dahulu.
“Kami kena pastikan segala aktiviti perniagaan adalah mengikut peraturan dan kawal seliaan yang telah ditetapkan suruhanjaya tersebut untuk memastikan kepentingan pelabur terjamin,” tegasnya.
Mengulas lanjut mengenai Raiz, Aidi Izham menjelaskan, Raiz adalah aplikasi mudah alih pelaburan mikro yang memanfaatkan duit baki secara maya daripada pembelian harian pengguna untuk melabur dalam portfolio pelaburan peribadi masing-masing yang terdiri daripada dana-dana harga berubah Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).
Menurutnya, ini membolehkan rakyat negara ini yang berbelanja menggunakan kad debit, menyimpan dan melabur baki syiling daripada sesuatu perbelanjaan itu.
“Sebagai contoh seseorang itu berbelanja menggunakan kad debit dengan harga RM11.10 dan akan dibundarkan pada harga RM12. Baki sebanyak 90 sen itu akan disimpan oleh aplikasi ini dan dilaburkan.
“Ini adalah cara unik untuk pengguna memanfaatkan sepenuhnya perbelanjaan yang mana bakinya boleh disimpan dan dilabur. Sambil berbelanja, anda menyimpan dan melabur,” jelasnya.
Tambahnya, selain daripada pelaburan dibundarkan, pengguna juga boleh memilih untuk melabur secara pelaburan sekali gus dan pelaburan berulang.
Buat masa ini, Raiz Malaysia telah menjalinkan kerjasama dengan bank Maybank bagi membolehkan pelaburan duit baki itu dilakukan.
Tetapi dalam waktu terdekat, Aidi Izham menjelaskan, pelaburan duit baki itu bakal boleh dilakukan dengan bank-bank lain juga bagi membolehkan lebih ramai rakyat negara ini menyimpan dan melabur.
Walaupun baru kira-kira setengah tahun dilancarkan, Raiz Malaysia telah berjaya merekodkan lebih 110,000 orang yang memuat turun aplikasi tersebut.
“Sebenarnya sebelum ini kami menyasarkan menjelang hujung tahun ini seramai 60,000 muat turun dan ternyata kami mendapat lebih daripada jumlah itu. Saya yakin jumlah itu akan bertambah dalam waktu terdekat ini
“Sehingga kini jumlah pelaburan yang terkumpul adalah melebihi RM5 juta dan akan digunakan untuk tujuan pelaburan dalam dana-dana harga berubah ASNB,” tegasnya.
Tambahnya, Raiz memberikan pengalaman yang lancar untuk pengguna melakukan pelaburan dalam talian dengan mudah. Aplikasi itu membantu pengguna mengembangkan pelaburan dan mencadangkan portfolio pelaburan yang disyorkan, bersesuaian dengan profil risiko dan matlamat kewangan pengguna.
Majlis Fatwa Kebangsaan dan seluruh negeri juga mengkategorikan pelaburan dalam dana-dana unit amanah ASNB serta dividen dan bonus sebagai harus atau dibenarkan.