LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mengesahkan pemain bintang, Mohamed Salah akan bersama skuad menjelang aksi Liga Juara-Juara menentang Atalanta di Anfield awal pagi esok.
Sebelum ini, Salah terpaksa diketepikan daripada pasukan apabila positif Covid-19 selepas beraksi bersama Mesir pada saingan antarabangsa.
Bagaimanapun, pemain berusia 28 tahun itu sudah bebas daripada virus tersebut selepas ujian kedua yang dilakukan menunjukkan keputusan negatif.
Justeru, dia dijangka berada dalam kesebelasan utama menentang Atalanta, sekali gus memberi kelegaan kepada Klopp memandangkan The Reds berdepan masalah kekurangan pemain ketika ini.
“Saya dapat laporan bahawa ujian kedua yang dilakukan terhadapnya (Salah) menunjukkan keputusan negatif, oleh itu dia akan menjalani latihan bersama pasukan.
“Sebelum perlawanan, kami perlu menjalani ujian yang dilakukan UEFA terlebih dahulu. Saya harap kami semua tidak ada sebarang masalah,” ujar Klopp.
Pengendali dari Jerman itu turut berharap mereka mampu mengutip tiga mata pada perlawanan esok biarpun sebelum ini beliau menyuarakan rasa tidak puas hati berhubung jadual yang perlu diharungi. – AGENSI