PUTRAJAYA – Atlet muda yang berpotensi menyumbangkan pingat bakal diketengahkan kontinjen Wilayah Persekutuan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2022 nanti.
Pengerusi Majlis Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Ramlan Askolani berkata, pada masa sama gelaran kejuaraan keseluruhan turut diburu selepas gagal meraih gelaran tersebut dua tahun lalu.
Katanya, perancangan mengetengahkan bakat-bakat muda yang berpotensi itu bukan hanya sekadar Wilayah Persekutuan tetapi ke peringkat lebih tinggi untuk mengharumkan nama Malaysia.
“Objektif Sukma adalah melahirkan atlet bawah 21 tahun, jadi memang ini sasaran kami selain kutipan pingat juga menjadi buruan.
“Di sebalik melahirkan bakat baharu, gelaran kejuaraan keseluruhan turut menjadi idaman kontinjen,” katanya selepas menyerahkan Bantuan Kewangan Covid-19 kepada Persatuan Sukan Wilayah Persekutuan di sini hari ini.
Pada temasya Sukma 2018 edisi ke-19 di Perak, Terengganu meraih gelaran juara keseluruhan dengan mengumpul 56 emas, 51 perak dan 53 gangsa manakala kontinjen Wilayah menamatkan saingan di kedudukan naib juara dengan meraih 52 emas, 38 perak dan 50 gangsa. Juara dua tahun lalu iaitu Selangor berada di tempat ketiga dengan 47 emas, 68 perak dan 67 gangsa.
Temasya Sukma yang sepatutnya berlangsung pada Julai lalu ditangguhkan akibat pandemik Covid -19 sebelum dijadualkan semula bermula 2 hingga 10 April 2021 namun akhirnya dibatalkan.
Mengulas penyerahan bantuan kewangan Covid-19, Ramlan memaklumkan sebanyak RM180,000 bantuan kewangan disalurkan kepada persatuan sukan di bawah Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP).
Katanya, peruntukan itu disalurkan kepada 90 persatuan sukan di bawah MSWP yang berdaftar dan menerima bantuan RM2,000 bagi setiap persatuan sukan.
“Bantuan ini merupakan inisiatif meringankan impak dan beban yang ditanggung persatuan sukan seterusnya memberikan nafas baharu kepada pembangunan sukan pasca Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” jelasnya.
Menurutnya, pembayaran elaun latihan kepada 700 atlet dan 103 jurulatih turut diteruskan meskipun latihan secara intensif tidak dapat dilaksanakan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKPB di Wilayah Persekutuan.
“Usaha ini merupakan tanda keprihatinan Menteri Wilayah Persekutuan dan MSWP terhadap perkara berkaitan kebajikan atlet dan jurulatih di Wilayah Persekutuan,” katanya. K! ONLINE