KUALA KRAI – Keluarga angkat kepada seorang lelaki resah menunggu maklumat terkini sejak dia dipercayai hilang tanpa khabar di Sungai Buloh, Selangor sejak tiga hari lalu.
Mohd. Shahddam Mohd. Suhaimi,32, yang berasal dari Kampung Pasir Era, Bukit Sireh di sini dilaporkan masih belum dijumpai meskipun keluarga angkatnya telah mencari di merata tempat termasuk di ibu negara
Ibu angkatnya, Che Norhayati Mohamad, 54, berkata, Mohd. Shahddam dipercayai keluar dari rumahnya di Sungai Buloh untuk membeli nasi kira-kira pukul 11 pagi pada Ahad lalu.
Katanya, dia merupakan anak sulung daripada enam beradik keluar tanpa membawa sebarang dokumen pengenalan diri dan telefon bimbit.
“Selepas tidak pulang ke rumahnya, ahli keluarga telah membuat laporan di Balai Polis Sungai Buloh pada pukul 9. 21 malam, pada hari sama.
“Anak angkat saya tinggal bersama kedua ibu bapanya sejak setahun lalu di Selangor selepas berhenti bekerja sebagai jurutera di Sarawak. Dia juga mempunyai masalah kesihatan dipercayai terkena buatan orang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Katanya, sehingga kini, keluarga sudah mencari Mohd. Shahddam di merata tempat termasuk di negeri Kelantan, namun belum menjumpainya.
Menurut Che Norhayati, dia turut mendapat maklumat bahawa anak angkatnya itu ditemui sedang berjalan kaki di Gua Musang pukul 12 malam kelmarin.
Orang ramai yang ternampak Mohd. Shahddam boleh menghubungi Che Norhayati di talian 011-2546 6362. -K! ONLINE