fbpx

Johor bentang belanjawan esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HASNI (dua dari kiri) akan membentangkan belanjawan negeri Johor esok.

JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor akan membentangkan Belanjawan Johor 2021 yang bertemakan ‘Berdaya Tahan Demi Kemakmuran’ pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) esok.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, belanjawan berkenaan merangkumi tiga asas utama iaitu pelbagai inisiatif untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat, memulihkan ekonomi dan membina daya tahan fiskal serta ekonomi negeri.

Katanya, strategik dan inisiatif dalam belanjawan itu adalah bersifat inklusif iaitu mengambil kira pandangan pelbagai lapisan masyarakat demi kebaikan rakyat Johor.

“Kerajaan negeri amat menyedari banyak pihak termasuk rakyat yang terkesan ekoran ketidaktentuan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

“Pandemik ini yang masih belum berakhir hingga kini memberi gangguan yang amat besar, bukan sahaja dalam ekosistem ekonomi Johor dan negara malah juga global,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Hasni menambah, menerusi sumber fiskal dan kedudukan ekonomi Johor yang strategik, Belanjawan Johor 2021 adalah peluang utama untuk mengusahakan pelbagai langkah pemulihan ekonomi negeri.

Jelasnya, kedudukan fiskal yang kukuh serta keperluan merancakkan ekonomi, pihaknya yakin mampu melaksanakan pelbagai inisiatif yang akan diumumkan nanti.

“Tujuh Ikhtiar Makmur Johor yang saya umumkan pada Jun lalu juga akan menjadi panduan bagi Kerajaan Negeri merancakkan dan memulihkan semula ekonomi Johor pasca Covid-19 supaya lebih berdaya tahan pada masa depan.

“Belanjawan Johor 2021 ini adalah ikhtiar kita bagi fasa pemulihan ekonomi setelah Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Johor 2020 dan saya berharap rakyat akan nampak usaha keras dan kejujuran Kerajaan Negeri dalam membantu mereka,” katanya.

Sementara itu, Hasni memaklumkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk pembangkang diberikan Taklimat Pembangunan Negeri Johor di Kota Iskandar semalam.

Taklimat itu turut dihadiri oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Suhaizan Kaiat.

Katanya, taklimat pembangunan disampaikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan), Datuk Dr. Badrul Hisham Kassim.

“Selain itu, mereka juga diberikan penerangan status terkini pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Johor oleh Pegawai Kewangan Negeri Johor, Datuk A. Rahim Nin.

“Saya berharap Belanjawan Johor 2021 yang akan saya bentangkan Khamis ini dibahaskan dan diterima baik oleh semua wakil rakyat demi kesejahteraan rakyat Johor,” katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI