fbpx

Jangan aniaya diri buat laporan palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan. NOTA TERBITAN KOSMO 24 MAC 2018 SABTU MUKA 6 Archived By RM
MOHD. YUNUS YAKKUB

KATA pepatah, kayu yang bengkok masakan lurus bayangan adalah tepat kepada mana-mana individu yang suka mereka cerita bagi menyelamatkan diri apabila dihimpit kesusahan.

Perkara ini jelas apabila Polis Selangor baru-baru ini menerima 72 laporan polis palsu dengan kebanyakan melibatkan kehilangan kad pengenalan.

Jumlah itu menunjukkan pe­ningkatan berbanding 21 kes pada tahun lalu.

Alasan diberikan pengadu adalah disamun, kemalangan, dicuri dan kes tarik kenderaan, namun siasatan mendapati ia adalah berpunca keengganan individu untuk membayar.

Berdasarkan kadar bayaran denda ditetapkan Jabatan Pendaftaran Negara, kes kehila­ngan akibat kecuaian sendiri buat kali pertama adalah RM100, kali kedua (RM300) dan ketiga serta seterusnya RM1,000.

Selain itu, ada yang sanggup menipu kehilangan kenderaan bagi tuntutan insurans seperti berlaku di Klang baru-baru ini.

Siasatan mendapati, suspek seorang kontraktor telah membakar keretanya berikutan rakan kongsi perniagaannya tidak membuat bayaran bulanan kereta tersebut.

Memang benar, setiap laporan yang diterima akan disiasat untuk dipastikan kesahihannya. Namun, jangan sampai kita membazirkan masa pegawai penyiasat untuk kes yang tidak wujud.

Jurucakap Khas Op Covid-19 Polis Selangor, Asisten Komisio­ner Muhammad Yazid Muhammad Yew dalam sidang akhbar baru-baru ini turut memberi ama­ran tegas kepada semua pihak supaya tidak sesekali me­lakukan kesalahan berkenaan.

“Laporan palsu seumpama itu jelas mengganggu tugas pegawai dan anggota polis yang terlibat dalam penugasan Op Covid-19.

“Pesalah boleh disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan,”

Justeru, yang rugi adalah mereka yang berbohong kerana telah menganiayai diri sendiri.

Ini sinonim dengan peribahasa untung tidak dapat diraih, malang tidak dapat ditolak dan apabila kesnya mendapat liputan meluas media, tahu pula malu dengan menundukkan.

Bagi penganalisis jenayah, Kamal Affendi Hashim, tindakan membuat laporan palsu untuk menutup kesalahan sendiri adalah satu kesalahan yang serius.

Katanya, perlu diingatkan bahawa setiap laporan yang diterima akan menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kos bagi penyiasatan.

“Contohnya, laporan palsu kehilangan motosikal bernilai RM3,000 untuk tuntutan palsu, namun kos menyiasat termasuk sumber manusia dan penggunaan kenderaan dan logistik barangkali melebihi dari nilai motosikal itu.

“Sama ada suka atau tidak, perbelanjaan harus dikeluarkan bagi menanggung siasatan yang dapatan akhir mendapati ia palsu. Maka yang rugi adalah pihak kerajaan,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Kata beliau, pemasalahan ini akan menjadi lebih besar sekiranya laporan palsu itu mendakwa atau melakukan tomahan kepada individu lain yang tidak bersalah.

Sehubungan itu, beliau me­negaskan ‘kaki kelentong’ seperti itu wajar dikenakan tindakan tegas termasuk membiayai kos penyiasatan.

“Kos pengurusan mahkamah juga perlu ditanggung agar mereka tahu membuat laporan palsu adalah perbuatan serius.

“Saya usulkan demikian sebagai pengajaran keras kepada mereka yang telah menyusahkan pihak berkuasa dan orang di sekelilingnya seterusnya membawa pelaku ini ke jalan betul pada kemudian hari,” jelasnya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI