MILAN – Menjelang aksi Liga Juara-Juara menentang Real Madrid di San Siro awal pagi esok, jurulatih Inter Milan, Antonio Conte tidak mahu terlalu mendabik dada.
Sebaliknya, bekas pengurus Chelsea itu hanya menganggap pasukannya sebagai bukan pilihan pada perlawanan menentang juara Eropah sebanyak 13 kali itu.
Bagaimanapun, beliau menegaskan skuad kendaliannya sentiasa dahagakan kemenangan selain menggesa pemain-pemainnya tidak memberi laluan mudah buat Real.
“Perkara yang paling penting adalah kami perlu pamerkan karakter serta bekerja keras. Saya tahu ia bukan perlawanan mudah.
“Anda perlu tunjukkan kemahuan kepada lawan anda. Saya gembira dengan prestasi pasukan ketika ini, namun saya akui kami masih belum layak digelar pasukan hebat,” tegas Conte.
Meskipun menghuni tangga tercorot Kumpulan B, namun Conte tidak mahu barisan pemainnya mengaku kalah.
“Kami sentiasa cuba memperbaiki kemampuan pasukan untuk menjadi juara, itulah motivasi saya. Inter memiliki ramai pemain bagus dan saya mahu kami julang sekurang-kurangnya satu trofi musim ini,” ujar beliau. – AGENSI