PETALING JAYA – IJM Construction Sdn. Bhd. (IJM Construction), anak syarikat milik penuh IJM Corporation Bhd. (IJM) memperoleh kontrak bernilai RM314.8 juta untuk pembinaan menara hotel dan pejabat setinggi 34 tingkat di The Light City, Gelugor, Pulau Pinang.
IJM Construction menerima surat penganugerahan kontrak berkenaan daripada Laksana Positif Sdn. Bhd., syarikat milik penuh IJM Perennial Development Sdn. Bhd. (IJMPD).
IJMPD merupakan syarikat usaha sama 50:50 antara IJM RE Sdn. Bhd. (anak syarikat milik penuh IJM) dan Perennial Penang Pte. Ltd., subsidiari Perennial Real Estate Holdings Pte. Ltd. yang berpangkalan di Singapura.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan IJM, Liew Hau Seng berkata, kerja pembinaan dijadualkan bermula pada Januari 2021 dan dijangka siap dalam tempoh 45 bulan, iaitu pada Oktober 2024.
“Pembinaan menara dengan luas binaan keseluruhan 77,109 meter persegi itu akan melibatkan sebuah hotel empat bintang dengan 500 bilik.
“Ia merangkumi komponen pejabat terdiri daripada 90 suit pelbagai saiz,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.
Hau Seng menjelaskan, pelantikan IJM Construction merupakan pengiktirafan terhadap kemahiran dan kebolehan syarikat selain meningkatkan kehadirannya di Pulau Pinang.
Pada Mac lalu, IJM Construction telah dianugerahkan kontrak bernilai RM140 juta untuk pembinaan hotel setinggi 24 tingkat di Butterworth.