KUALA LUMPUR – Ibu kepada model Belanda, Ivana Esther Robert Smit yang maut selepas terjatuh dari kondominium tiga tahun lalu, memfailkan saman terhadap Ketua Polis Negara dan tiga yang lain kerana didakwa gagal menjalankan siasatan terhadap kes kematian anaknya.
Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen, 56, selaku plaintif memfailkan saman itu melalui Tetuan S.N Nair & Partners di Mahkamah Tinggi di sini semalam dengan menamakan Ketua Polis Negara sebagai defendan pertama dan Pegawai Penyiasat Asisten Superitendan Faizal Abdullah, Menteri Dalam Negeri, serta Kerajaan Malaysia masing-masing sebagai defendan kedua hingga keempat.
Melalui semakan mahkamah, pengurus kes selanjutnya ditetapkan pada Jumaat ini di hadapan Timbalan Pendaftar Maslinda Selamat.
Dalam pernyataan tuntutan itu, plaintif berkata Ivana ditemui mati pada 7 Disember 2017 ketika berusia 18 tahun di balkoni salah satu unit yang Kondominium Cap Square Residensi Kuala Lumpur.
Plaintif yang ketika itu berada di Belanda telah dimaklumkan tentang kematian anaknya yang kemudian telah ke negara ini dalam keadaan segera bagi pengesahan mayat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Setibanya di negara ini, pada 9 Disember 2017 plaintif telah diberitahu bahawa anaknya mati kerana bunuh diri yang kemudian satu kertas siasatan dibuka melalui kematian mengejut (SDR).
Kata plaintif ketika itu, dia tidak dapat menerima keputusan tersebut yang secara asasnya amat sukar dipercayai selain terkejut pihak polis kertas siasatan dibuka di bawah SDR dan menganggap keputusan terhadap kematian anaknya itu dalam keadaan tergesa-gesa.
Plaintif berkata, ekoran kematian anaknya itu, pada 8 Ogos 2018 satu inkues telah dimulakan di hadapan Hakim Koroner di Mahkamah Kuala Lumpur dan seramai 22 orang saksi telah dipanggil memberi keterangan.
Bagaimanapun pada 8 Mac 2019 Hakim Mahkamah Koroner telah membuat keputusan bahawa kematian anaknya itu adalah satu nahas (misadventure).
Tidak puas hati dengan keputusan itu plaintif telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi namun Hakim Collin Lawrence Sequerah pada 22 November 2019 telah mengetepikan keputusan Mahkamah Koroner dan telah mengarahkan Pejabat Peguam Negara memerintahkan polis melakukan siasatan semula terhadap kes itu.
Selepas arahan tersebut dikeluarkan, plaintif mendapati, defendan kedua (ASP Faizal Abdullah) masih menjadi sebahagian daripada pasukan penyiasatan walaupun terdapat banyak isu ditimbulkan berhubung pegawai polis itu sewaktu inkues.
Pasukan penyiasat yang ditubuhkan pada 27 November 2019 itu didakwa bersifat malas dan berhibernasi walaupun pihak berkuasa Belanda telah memberi peringatan mengenai siasatan itu.
Selepas didesak beberapa kali, sekitar Oktober 2020, barulah defendan kedua meminta salinan laporan-laporan bedah siasat, gambar tempat kejadian dan lain-lain dokumen berkaitan kes itu daripada Pejabat Pendakwa Belanda dan Polis Belanda sedangkan dokumen-dokumen itu sepatutnya berada dalam salinan defendan kedua tersebut.
Ujar plaintif, tindakan itu menunjukkan sikap defendan-defendan yang tidak bertanggungjawab, memusnahkan harapan keluarga mangsa dan telah gagal menjalankan tanggungjawab statutori antaranya gagal menjalankan siasatan dan menangkap dua individu iaitu Alexander William Johnson dan Lunara Almazkyzy dan mengklasifikasikan semula siasatan dengan kemungkinan kesalahan lain termasuk pembunuhan.
Dakwa plaintif, defendan-defendan secara jelas melanggar Operasi standard Prosedur (SOP) dalam penyiasatan termasuk membuat kesimpulan yang pra-matang dalam siasatan kes kematian tersebut selain tidak membuka siasatan termasuk dari sudut jenayah.
Justeru plaintif, menuntut defendan-defendan membayar ganti rugi Am, teruk serta deklarasi bahawa defendan telah gagal menjalankan tugas selain perintah mandamus (memaksa) defendan kedua dikeluarkan daripada pasukan penyiasat termasuk mengisukan waran tangkap dan mengektradasi Alexender dan Lunara ke negara ini sehingga kes selesai. -K! ONLINE