LONDON – Prinsipal Ferrari, Mattia Binotto menjelaskan peningkatan prestasi pasukannya di Grand Prix (GP) Turki merupakan perkembangan positif dan yakin mampu membangunkan jentera yang lebih berdaya saing pada musim 2021 nanti.
Musim 2020 adalah yang terburuk buat pasukan yang berpangkalan di Maranello, Itali itu selepas program pembangunan pada jentera SF1000 dilihat gagal memberi tentangan kepada Mercedes musim ini dan masih belum berupaya meraih kemenangan.
Ferrari yang dilihat kecewa sedang membangunkan penyelidikan dan mempersiapkan jentera baharu untuk digunakan pada musim 2021 nanti terutama mereka bentuk casis baharu dan menambah baik sistem aerodinamik.
Kemenangan podium tempat ketiga Sebastian Vettel dan keempat Charles Leclerc di Turki kembali menceriakan kem Ferrari dan mereka menggangap ia adalah hasil yang positif buat mereka.
“Terdapat peningkatan pada jentera Ferrari dan ini menunjukkan pasukan telah melakukan kerja dengan betul dalam memperbaiki masalah beberapa pusingan lalu.
“Anda boleh melihat perlumbaan terakhir, kami akan memperbaiki kedudukan kami dalam perlumbaan. Saya rasa jentera menjadi lebih konsisten dan juga semakin laju.
“Sekurang-kurangnya pasukan berjaya memperoleh keputusan yang positif untuk dibawa ke perlumbaan seterusnya. Perebutan kategori pengeluar juga masih belum berakhir dan kita akan berusaha.
“Kita berusaha memahami kelemahan jentera dan berusaha mengatasinya. Kita melakukan persiapan untuk menghadapi musim depan,” kata Binotto.
– AGENSI