KUALA LUMPUR – Perbuatan seorang lelaki warga India mencabul seorang wanita di laluan pejalan kaki dua minggu lalu, berbalas apabila dia dihukum penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Aina Azahra Arifin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Allah Pitchai Bazeeth Mohamed, 26, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.
Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 13 November lalu.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga pekerja restoran itu didakwa telah menggunakan kekerasan jenyah terhadap mangsa yang berusia 31 tahun dengan maksud hendak mencabul kehormatannya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di laluan pejalan kaki hadapan tangga berhampiran sebuah premis di Jalan Megan Setapak, Wangsa Maju, di sini, pukul 8 malam pada 13 November lalu.
Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat, atau mana-mana dua daripada seksaan itu jika sabit kesalahan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Zuraidi Zulkifli memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran agar tertuduh tidak mengulangi kesalahan sama di masa akan datang.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan telah insaf dengan kesalahan yang dilakukan.
Sementara itu, di mahkamah sama, seorang lagi lelaki warga India dijatuhi hukuman penjara tiga bulan kerana mencuri pelbagai jenis pakaian bernilai RM129.50 di sebuah pusat beli-belah, minggu lalu.
Majistret Aina Azahra menjatuhkan hukuman itu terhadap pengutip besi, T. Suresh Kumar, 21, selepas dia mengaku bersalah mencuri tiga helai baju, sepasang kaca mata hitam dan sepasang kasut milik Yee Fong Hung (Malaysia) Sdn. Bhd.
Kesalahan itu dilakukan di Brands Outlet, Fahrenheit 88, Bukit Bintang, di sini, pukul 5.30 petang pada 16 November lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan. -K! ONLINE