fbpx

ATM ingatkan kepimpinan, anggota berwaspada kawal sempadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Angkatan Tentera Malaysia

PETALING JAYA- Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengingatkan setiap lapisan peringkat kepimpinan serta anggota yang terlibat dalam operasi kawalan persempadanan untuk terus berwaspada dan meningkatkan aspek kesiagaan operasi, terutama di lorong-lorong tikus.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata lorong-lorong tikus itu merupakan tumpuan aktiviti jenayah rentas sempadan memberi risiko ancaman kepada anggota ATM yang bertugas.

“Mereka yang terlibat dalam jenayah rentas sempadan dan penyeludupan ini juga boleh bertindak di luar batasan untuk melepaskan diri dari ditahan.

“Mereka juga tidak bersendirian dan berkemungkinan bernaung di bawah sindiket-sindiket tertentu yang menjurus kepada aktiviti jenayah berat dan bersenjata,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan dikeluarkan susulan insiden seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis maut ditembak dan seorang lagi mengalami kecederaan parah dalam satu kejadian tembak-menembak semalam.

Berikutan insiden itu, Affendi berkata ATM kini sentiasa meningkatkan kawalan persempadanan daratan yang turut melibatkan operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasaan dan keselamatan lain terutamanya Polis Diraja Malaysia.

Tambah beliau, meskipun jenayah rentas sempadan serta aktiviti penyeludupan tidak pernah berhenti, ATM sentiasa berusaha memperkasa dan memperkemaskan kawalan keselamatan persempadanan melalui kekerapan rondaan di samping penggunaan aset seperti dron bagi mengesan sebarang pergerakan di sempadan negara.

“Kesiagaan dari segi aset dan kesediaan warga ATM sentiasa berada di tahap yang tertinggi dalam melaksanakan amanah yang telah dipertanggungjawabkan agar dapat membendung sebarang anasir asing yang cuba mengganggu gugat keamanan dan
kedaulatan negara,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI