SEEKOR zirafah putih yang satu-satunya ada di dunia kini telah dilengkapi dengan alat penjejak sistem kedudukan global (GPS) bagi menghindarinya daripada menjadi mangsa pemburuan haram di bahagian timur laut Kenya.
Ahli konservasi menjelaskan, dengan pemasangan alat tersebut, pasukan renjer dapat memantau pergerakan zirafah itu secara langsung pada setiap masa.
Haiwan tersebut mempunyai keadaan genetik yang disebut leucism yang menyebabkan hilangnya pigmentasi kulit dan berwarna putih.
Zirafah tersebut dianggap terakhir yang tinggal setelah pemburu haram membunuh dua ahli keluarganya pada Mac lalu.
Renjer khuatir haiwan tersebut boleh mengalami nasib sama seperti keluarganya yang mempunyai kulit putih sepertinya.
Bangkai mereka dijumpai di kawasan pemuliharaan di Garissa County di timur laut Kenya.
Komuniti Konservasi Ishaqbini Hirola yang mengawasi hidupan liar di kawasan itu mengatakan, alat penjejak tersebut telah dipasang pada salah satu tanduk zirafah itu pada 8 November lalu.
Alat penjejak itu akan memberikan kemas kini setiap jam mengenai lokasi keberadaan haiwan tersebut.