LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menghamburkan pujian terhadap penyerang, Roberto Firmino apabila membantu pasukan itu menang 3-0 ke atas Leicester City pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield awal pagi semalam.
Pemain antarabangsa Brazil itu membuktikan masih memiliki sentuhan gol biarpun dia dikecam hebat sebelum ini apabila sudah lama tidak menjaringkan gol buat The Reds.
Selain Firmino, Diogo Jota turut mencetak nama selaku penjaring, sementara satu gol lagi diperoleh menerusi jaringan sendiri pemain pertahanan Leicester, Jonny Evans.
“Kami sangat gembira dan lega dengan kemenangan ini. Bagi saya, dia (Firmino) berhak untuk menjaringkan gol kerana sudah menampilkan permainan yang sangat baik.
“Anda semua boleh lihat pemain-pemain lain begitu gembira dengan jaringan Firmino dan mereka mengakui dia adalah penyerang yang sebenar,” ujar Klopp.
Pada masa sama, pengendali dari Jerman itu menyuarakan kegembiraannya apabila pasukan tersebut melebarkan rekod tanpa kalah di laman sendiri kepada 64 perlawanan.
“Ia sangat menakjubkan kerana bukan mudah untuk dilakukan. Kami sangat seronok bermain di sini (Anfield) walaupun tanpa kehadiran penonton. Mungkin rasa sedikit janggal tetapi kami tetap gembira,” katanya. – AGENSI