MELAKA – Tiga ahli kumpulan ‘Geng Ayip Gagap’ termasuk seorang anggota tentera didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas 12 pertuduhan mencuri, menjual dan melupuskan motosikal curi.
Kesemua tertuduh, Muhammad Fariq Abd. Ghani, 24; Mohd. Iswadi Nordin, 32, dan Mohd. Faris Aisar Nordin, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dalam dua prosiding berasingan di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh dan Mazana Sinin.
Mengikut tujuh pertuduhan terhadap Muhammad Fariq dan satu pertuduhan masing-masing terhadap Mohd. Iswadi dan Mohd. Faris, kesemua mereka dia didakwa telah menyembunyikan, memiliki, melupuskan harta curi dan menjual kenderaan motosikal dalam daerah Melaka Tengah antara 27 Jun 2018 sehingga 2 November 2020.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.
Muhammad Fariq bagaimanapun turut didakwa mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 atas kesalahan memiliki atau menyimpan sepasang rim motosikal di lokasi sama pada 30 Oktober 2020.
Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum setahun atau denda tidak melebihi RM1, 000 atau kedua-duanya sekali.
Selain itu, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri sebuah motosikal bersama-sama seorang yang masih bebas antara pukul 7.30 malam 27 Mac 2020 sehingga 6. 45 pagi 28 Mac 2020 di Taman Seri Cempaka, Peringgit.
Sabit kesalahan membawa hukuman penjara minimim satu tahun dan maksimim tujuh tahun dan hendaklah dikenakan denda.
Sepanjang siasatan tertuduh juga didakwa telah menghalang tugas seorang Inspektor dengan tidak memberikan kerjasama dan didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10, 000 atau kedua- duanya, jika sabit kesalahan.
Dalam pertuduhan terakhir, Muhammad Fariq turut didakwa di bawah Peraturan 25(1)(a) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun dan denda tidak lebih RM20, 000 kerana gagal mengemukakan kad pengenalan kepada pegawai polis.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raudhah Mazman manakala Peguam Datuk Arravin Raj dan Zulkifli Zakaria mewakili kesemua tertuduh.
Selepas mendengar hujah kedua pihak, mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM6, 600 ke atas Muhammad Fariq, manakala RM2, 500 terhadap Mohd. Iswadi dan Mohd. Faris Aisar sebanyak RM1, 800. Sebutan semula kes ditetapkan pada selain tarikh 11 dan 26 Januari depan.
Media pada 13 November lalu melaporkan pasukan polis negeri ini berjaya menumpaskan tujuh ahli Geng Ayip Gagap yang giat menjalankan kegiatan mencuri motosikal sekitar daerah ini untuk dilerai dan dijual di Facebook sebagai alat ganti sejak dua bulan lalu.
Kesemua suspek ditahan berusia 19 hingga 32 tahun aktif menjalankan kegiatan jenayah itu sejak dua bulan lalu dengan mensasarkan motosikal jenis Honda EX5 dan C70. – K! ONLINE