WASHINGTON – Ahli gusti popular, The Undertaker mengumumkan keputusan untuk bersara selepas 30 tahun beraksi di gelanggang gusti, lapor portal Daily Star semalam.
Penggusti yang juga dikenali dengan gelaran The Deadman itu akan membuat penampilan terakhir hujung minggu ini menerusi Survivor Series sebelum bersara.
“Dalam minda saya, ya saya sudah 100 peratus muktamad. Saya sudah berusaha untuk menerimanya dan kini berasa tenang (dengan keputusan bersara).
“Saya masih ada minat dan mencintainya (sukan gusti). Dan secara fizikal, jika mampu meneruskan buat selama-lamanya, saya akan lakukannya. Namun, kamu tidak boleh terlepas dari masa,” katanya kepada saluran sukan ESPN.
Dia mengakui bahawa keadaan fizikal tidak lagi sesuai untuk Undertaker keluar bergusti dan memenuhi harapan pembeli tiket untuk melihatnya beraksi.
Undertaker atau nama sebenarnya Mark Calaway mahu meluangkan lebih banyak masa bersama isteri, Michelle McCool.
Menurut Sportskeeda, Calaway menerima bayaran AS$17 juta (RM70 juta) daripada Hiburan Gusti Sedunia ( WWE) pada 2020 dengan muncul di skrin televisyen sebanyak 10 kali.
Beberapa laporan mendakwa, dia juga menerima bayaran tambahan kira-kira AS$5 juta (RM20 juta) untuk program televisyen lain, menjadikan jumlah terkumpul perolehan ialah AS$22 juta (RM90 juta) bagi tahun ini.
Calaway juga ada pelaburan portfolio dan hartanah terkumpul bernilai AS$2.7 juta (RM11 juta). – Agensi