KUALA NERUS – Hujan lebat berterusan sejak awal pagi semalam menyebabkan beberapa kawasan di daerah ini, Kuala Terengganu, Dungun, Setiu dan Besut dilanda banjir mulai malam tadi.
Setakat pukul 7.30 pagi, empat pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu dua di Kuala Nerus dan masing-masing satu di Kuala Terengganu dan Dungun telah dibuka mulai pukul 1.10 pagi tadi.
Setiausaha Sekteriat Pengurusan Bencana Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, seramai 192 mangsa banjir daripada 57 keluarga termasuk seorang orang kelainan upaya (OKU), warga emas (10), bayi (enam) dan kanak-kanak (51) telah berpindah ke empat PPS berkenaan.
“Dua PPS telah dibuka di daerah ini iaitu SK Tok Jembal dan Balai Raya Alor Damat di sini manakala masing-masing sebuah di SK Cendering, Kuala Terengganu dan Dewan Sivik Seberang Pintasan, Dungun.
“PPS SK Tok Jembal di sini menempatkan paling ramai mangsa banjir iaitu 151 orang diikuti Dewan Sivik Seberang Pintasan (22), Sk Chedering (lima) dan Balai Raya Alor Damat (empat),” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Difahamkan beberapa PPS lagi akan dibuka di Setiu pada masa terdekat. – K! ONLINE