BARCELONA – Aksi Barcelona menentang Dynamo Kiev dalam saingan Liga Juara-Juara di NSC Olympiyskiy awal pagi esok bakal menentukan hala tuju gergasi Sepanyol itu sebelum berakhirnya kalendar tahun 2020.
The Catalan perlu mengharungi sembilan perlawanan termasuk Liga Juara-Juara dan La Liga sehingga hujung bulan depan dalam keadaan mereka dihantui krisis kecederaan selain prestasi yang terumbang-ambing ketika ini.
Selain Dynamo, Barcelona bakal menghadapi lawan-lawan mencabar seperti Osasuna, Ferencvaros, Cadiz, Juventus, Levante, Real Sociedad, Valencia dan Real Valladolid.
Terbaharu, Barcelona kehilangan tiga pemain utama kerana kecederaan iaitu Gerrard Pique, Sergi Roberto dan Ousmane Dembele untuk menghadapi Dynamo awal pagi esok yang dilihat mampu menjejaskan peluang mereka menyambar slot awal ke peringkat kalah mati.
Pique, 33, disahkan mengalami kecederaan lutut Medial Cruciate Ligament (MCL) ekoran perlanggaran pelik dengan pemain sayap Atletico Madrid, Angel Correa ketika Barcelona tewas 0-1 pada aksi La Liga di Stadium Wanda Metropolitano, Sabtu lalu.
“Pique mengalami kecederaan MCL tahap tiga dan sedikit pada bahagian Anterior Cruciate Ligament (ACL) lutut kanannya,” menurut kenyataan Barcelona yang tidak mendedahkan tempoh pemulihan perlu dijalani oleh Pique.
Bagaimanapun, Pique berkemungkinan besar terpaksa diketepikan selama dua bulan, sama seperti tempoh pemulihan perlu dilakukan Roberto disebabkan kecederaan pangkal paha.
Ketua jurulatih Barcelona, Ronald Koeman tiada cara lain selain menaikkan pangkat pemain daripada Barcelona B, Oscar Mingueza untuk mengisi kekosongan di bahagian pertahanan tengah sepanjang ketiadaan Pique.
– AGENSI