SEGAMAT – Dua buah rumah di Taman KSM, Batu Anam di sini mengalami kerosakan apabila bumbung tercabut sebelum diterbangkan angin kencang dalam kejadian ribut petang semalam.
Menurut salah seorang penduduk, Nizam Eson, 37, kejadian ribut itu berlaku kira-kira pukul 5.15 petang menyebabkan rumahnya dan jiran terjejas.
Menurutnya, kejadian berlaku terlalu pantas ketika dia berada di ruang tamu rumah dan sedang beristirehat bersama keluarga.
“Saya sepatutnya keluar ke kedai membeli barang keperluan, namun menangguhkannya seketika kerana tiba-tiba cuaca bertukar gelap.
“Tidak lama kemudian, angin kencang, hujan lebat dan petir. Tidak semena-mena bumbung rumah pula terbang ditiup ribut. Beberapa saat sahaja bumbung rumah terbang,” katanya.
Nizam berkata, dia dan isteri serta empat anaknya sempat menyelamatkan diri berlindung ke bahagian dapur.
“Mujur semuanya selamat dan kami tidak mengalami sebarang kecederaan,” ujarnya.
Jelas Nizam, sekuranf-kurangnya 20 keping bumbung jenis asbestos serta serpihan yang tajam diterbangkan angin selain perabung bumbung turut rosak.
Menurutnya, laporan polis telah dibuat dan kerugian masih belum diketahui.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat mengesahkan menerima laporan dari penduduk yang terkesan susulan kejadian ribut tersebut. – K! ONLINE