fbpx

Rakyat AS dapat vaksin Covid-19 seawal Disember ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) berharap dapat memulakan program vaksinasi koronavirus seawal Disember ini, kata seorang pegawai kanan kesihatan kelmarin.

“Rancangan kami adalah untuk menghantar vaksin koronavirus ke lokasi-lokasi imunisasi dalam masa 24 jam setelah mendapat kelulusan Pentadbiran Makanan dan Ubat (FDA),” kata ketua program pelalian virus AS, Moncef Slaoui kepada saluran berita CNN.

Beliau berkata, program vaksinasi awam itu berkemungkinan diadakan pada 11 dan 12 Disember ini.

Katanya, penasihat-penasihat vaksin FDA akan bermesyua­rat pada 10 Disember ini untuk membincangkan kelulusan tersebut.

Dua calon vaksin utama iaitu satu oleh Pfizer dan farmaseutikal Jerman, BioNTech serta satu lagi oleh syarikat AS, Moderna terbukti 95 peratus berkesan dalam ujian klinikal peringkat akhir baru-baru ini. Pfizer juga telah memohon persetujuan penggunaan kecemasan vaksinnya daripada pihak berkuasa kesihatan AS.

Slaoui berkata, kira-kira 20 juta orang di seluruh negara akan mendapat pelalian Disember ini dan 30 juta yang lain sebulan selepas itu.

Bagaimanapun, penasihat kanan kawalan penyakit berjangkit, Anthony Fauci memberi amaran bahawa situasi Covid-19 di AS boleh menjadi lebih buruk sebelum semakin reda sekiranya orang ramai gagal mematuhi langkah berjaga-jaga semasa musim cuti akan datang.

“Kita berada dalam situasi sukar di semua peringkat,” katanya.

Permulaan program vaksinasi itu berpotensi mencetus perubahan besar dalam perang melawan koronavirus yang meragut lebih 1.4 juta nyawa di seluruh dunia termasuk 255,000 orang di AS. Virus Covid-19 pertama kali dikesan di bandar Wuhan, China akhir tahun lalu. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI