fbpx

Pintu belakang pula diketuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kampung Batu 37 Darat, Sabak Bernam.

SABAK BERNAM – Ketukan pintu tanpa salam yang berlaku di Kampung Batu 37 Darat di sini masih belum terjawab walaupun sudah memasuki hari kelima semalam.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti kampung itu, Muhammad Nazri Saiman berkata, ‘makhluk’ tersebut dikatakan beralih kepada mengetuk pintu belakang selepas penduduk bersepakat berjaga-jaga di bahagian depan rumah termasuk me­nyalakan lampu.

Menurut beliau, penduduk kampung kini semakin rimas de­ngan situasi tersebut yang berte­rusan sejak Rabu lalu dan masih belum mendapat jawapannya.

“Penduduk kampung sudah mula takut kerana gangguan ketukan itu berterusan sehingga malam tadi (kelmarin). Ada penduduk yang diganggu dua kali dalam masa lima hari.

“Rondaan pada pukul 10 malam hingga 4 pagi juga telah dibuat di kampung ini, namun setakat ini tiada sebarang kelibat manusia atau entiti yang tular di laman Facebook dikesan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Sebahagian penduduk berkumpul sebelum membuat rondaan di sekitar Kampung Batu 37 Darat, Sabak Bernam malam kelmarin.

Menurut Muhammad Nazri, sebelum ini, pihaknya telah me­ngarahkan semua penduduk membuka lampu hadapan rumah masing-masing, namun sebalik­nya berlaku apabila entiti itu ber­alih mengetuk pintu belakang.

Bagi meredakan kejadian itu, Muhammad Nazri berkata, pihaknya bercadang untuk me­ngadakan bacaan Yasin dan solat hajat hari ini bagi memohon pertolongan Allah.

“Sebelum ini, kampung yang berusia lebih 100 tahun ini aman daripada sebarang gangguan dan sekiranya dilakukan oleh manusia, saya amat berharap pelakunya segera ditangkap.

“Jika sebaliknya pula, kami terbuka menerima pakar perubatan Islam atau bomoh untuk membantu menyelesaikan masalah itu secara percuma,” katanya.

Sementara itu, penduduk yang dikenali Farasiqyn berkata, dia berasa bimbang dengan kejadian ketukan itu termasuk me­libatkan unsur pukau.

“Hendak tidur lena pun susah, sebab rumah diketuk,” katanya.

Artikel berkaitan : Rumah ramai penghuni jadi pilihan

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd. Alias berkata, pihaknya menerima laporan daripada penduduk kampung berkenaan mewakili 24 buah rumah yang diganggu ketukan tersebut.

“Hasil siasatan awal ketukan itu berlaku di pintu hadapan, dapur dan tepi rumah,” katanya.

Kes disiasat mengikut Sek­syen 447 Kanun Keseksaan ke­rana melakukan pencerobohan dan Seksyen 13(1)(c) Akta Kesalahan Kecil 1955._! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI