NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) buat julung kalinya melaksanakan Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bagi sesi 2020/2021 secara sepenuhnya melalui platform atas talian pada hari pengundian Khamis ini.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, Profesor Madya Dr. Mohd. Rushdan Mohd. Jailani berkata, ini merupakan langkah terkini universiti dalam mengadaptasi norma baharu di kampus selain memanfaatkan perkembangan teknologi semasa untuk kemudahan warga kampus.
“Proses pemilihan MPP kali ini sememangnya satu sejarah kerana dilaksanakan sepenuhnya secara atas talian.
“Proses tersebut kita mulakan dengan penamaan calon pada 2 November lalu, diikuti dengan kempen maya oleh para calon dan kemuncaknya pembuangan undi pada Khamis ini (26 November 20202),” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Menurut Mohd. Rushdan, seramai 10,429 orang pelajar USIM layak mengundi pada Khamis ini bermula dari pukul 8 pagi hingga 6 petang dengan universiti meletakkan sasaran 90 peratus akan melaksanakan tanggungjawab mereka.
“Dengan majoriti pelajar kini masih terlibat dalam pembelajaran dan pengajaran secara atas talian di kampung halaman, pihak USIM tetap mengambil inisiatif membuka satu pusat pengundian secara fizikal di dalam kampus bertempat di Dewan Kuliah Pusat 4.
“Ini bagi membantu para pelajar yang tinggal di sekitar kampus yang mempunyai masalah dengan peranti dan talian internet untuk menunaikan tanggungjawab mereka di pusat mengundi di dalam kampus,” katanya.
Jelas beliau, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) dan Jawatankuasa Khas Pemilihan MPP dengan kerjasama Pusat Pembangunan Sistem dan Kejuruteraan (SDEC) USIM telah mengambil inisiatif untuk membangunkan satu sistem undian atas talian (e-undi) dan platform kempen secara maya melalui laman sesawang khas pilihmpp.usim.edu.my bagi memastikan setiap proses berjalan lancar.
“Tahun ini seramai 39 orang calon menawarkan diri untuk bertanding dalam Pemilihan MPP USIM berbanding tahun lepas iaitu seramai 35 orang sahaja.
“Daripada jumlah yang layak bertanding ini, seramai 16 orang bertanding merebut kerusi umum manakala 23 orang calon merebut kerusi fakulti,” katanya.
Mohd. Rushdan berkata, kerusi fakulti akan menyaksikan berlaku pertandingan di empat fakulti iaitu Fakulti Sains dan Teknologi, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Fakulti Pergigian dan Fakulti Kejuruteraan Alam Bina.
“Manakala lima buah fakulti tiada pertandingan berlaku kerana kesemua calon menang tanpa bertanding. Fakulti tersebut adalah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Fakulti Sains dan Teknologi, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah dan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan,” ujarnya.
Tambah beliau, keputusan rasmi pemilihan MPP USIM dijangka akan diketahui selewatnya pukul 6.30 petang, Khamis ini yang akan diumumkan oleh Naib Canselor USIM, Profesor Dr. Mohamed Ridza Wahiddin. – K! ONLINE