KOTA BHARU – Pasar Malam Wakaf Che Yeh di sini yang terkenal sebagai salah satu syurga membeli-belah di negeri ini lumpuh apabila urusan jual beli di kawasan itu suram sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasa pada Sabtu lalu.
Tinjauan Kosmo! mendapati, lokasi yang sering menjadi tumpuan bertukar sepi’apabila tidak lagi kunjungi oleh orang ramai berbanding sebelum ini.
Bukan itu sahaja, hanya beberapa premis sahaja yang dilihat kental meneruskan perniagaan ditemani oleh cahaya lampu neon dengan diselangi oleh deraian hujan memecah kesunyian malam.
Keadaan itu diakui sendiri oleh Agussalim Abdul Rahman, 34, yang hampir 20 tahun berniaga di kawasan tersebut.
Agussalam tanpa berselindung mengakui pendapatannya merosot hampir 90 peratus sejak kerajaan menguatkuasakan PKPB di negeri ini.
Menurutnya, tempoh dua minggu pelaksanaan PKPB cukup perit untuk diharungi oleh seluruh peniaga di kawasan ini yang hanya memulakan operasi pada pukul 7 petang setiap hari.
“Merumitkan lagi keadaan ini apabila had tempoh operasi perniagaan sehingga pukul 10 malam amat memberikan kesan buruk buat para peniaga.
“Kini tinggal beberapa orang sahaja peniaga di kawasan ini dan kami masih sukar untuk mendapatkan pelanggan,” katanya.
Tambahnya, dia merayu kepada pihak kerajaan supaya melonggarkan sedikit syarat dengan membenarkan premis perniagaan beroperasi hingga pukul 12 malam.
Agussalam berkata, dia kini terpaksa mengorek tabung untuk dijadikan sebagai modal, membayar gaji pekerja dan sewa kedai.
Katanya, semua itu dilakukan dengan tujuan memastikan perniagaan yang dibina hampir 20 tahun lalu tidak gulung tikar.
“Semua peniaga di sini semamangnya patuh kepada prosedur operasi standard yang ditetapkan oleh kerajaan dalam memutuskan rantaian Covid-19,” ujarnya. – K! ONLINE