fbpx

Netizen diminta tidak buat spekulasi kematian kakitangan KKM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tular di media sosial sejak semalam mengenai kematian seorang kakitangan KKM yang dikaitkan dengan kepenatan selepas menghantar pesakit Covid-19.

BAGAN SERAI – Orang ramai diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kematian seorang kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari Klinik Kesihatan Tronoh semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Sains dan Teknologi Hijau, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, kakitangan tersebut telah pengsan semasa menjalankan tugasannya dan dia dibawa ke Hospital Raja Perempuan Bainun (HRPB) sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di sini.

“Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa yang terdekat setelah laporan bedah siasat dan punca kematian mangsa diketahui.

“Jangan tularkan berita yang tidak sahih. Tolong hormati sensitiviti pihak keluarganya,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kit makanan dan kesihatan kepada mangsa banjir di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Haji Aman hari ini di sini.

Beberapa keping gambar dengan keterangan pemandu ambulans maut selepas menghantar pesakit Covid-19 dan turut dikaitkan dengan kepenatan kerana bertugas itu tular di media sosial sejak semalam.

Sementara itu, Ahmad Saidi turut menasihatkan penghuni PPS SK Parit Haji Aman untuk terus kekal mematuhi garis panduan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan penjagaan penjarakan fizikal serta kekal memakai pelitup muka ketika berada di ruangan yang sesak.

Sehingga jam 4 petang ini, jumlah keseluruhan mangsa banjir yang ditempatkan di pusat penempatan sementara (PPS) SK Parit Haji Aman dan SK Changkat Lobak adalah seramai 276 orang daripada 94 buah keluarga melibatkan 12 buah kampung di Bagan Serai. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI