LONDON – Pemain tenis sensasi Rusia, Daniil Medvedev mengakui sudah bersedia untuk mendominasi gelanggang tenis antarabangsa selepas berjaya merangkul kejuaraan ATP Final dengan menewaskan Dominic Thiem di perlawanan akhir semalam.
Pada aksi yang berlangsung di Arena O2 itu, Medvedev telah menunjukkan kebangkitan dramatik untuk menewaskan Thiem dengan keputusan 4-6, 7-6, 6-4 sekali gus menutup tirai musim ini dengan bergaya.
Kata Medvedev, misi utama pada tahun depan adalah untuk menamatkan penantian gelaran trofi Grand Slam dan jika berjaya direalisasikan, dirinya boleh diiktiraf sebagai salah seorang pemain elit seperti Roger Federer, Rafael Nadal dan Novak Djokovic.
“Saya sememangnya berharap dapat mendominasi gelanggang tenis seperti tiga pemain bertaraf legenda itu. Malah, bukan hanya saya seorang pemain muda yang berpotensi kerana Thiem juga semakin menunjukkan peningkatan prestasi.
“Ini terbukti apabila kami berdua berjaya melangkah ke pentas final dengan menewaskan Djokovic dan Nadal. Mengenai aksi final, saya akui sangat sukar untuk menewaskan Thiem khususnya apabila dia memberi tekanan seawal set pertama.
“Namun, saya kekal tenang untuk bangkit pada dua set dan seterusnya. Trofi ini menjadi kemenangan paling manis dalam karier dan saya mahu momentum pada saingan tahun depan,” katanya.
Kemenangan itu turut menjadikan Medvedev pemain Rusia pertama berjaya menjuarai kejohanan itu selepas Nikolay Davydenko. – AGENSI