PUTRAJAYA – Buat pertama kali kes baharu Covid-19 mencecah angka 2,000 dengan 2,188 kes dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 sebanyak 58,847 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kes baharu tersebut kesemuanya penularan dalam negara sekali gus tiada kes import dilaporkan hari ini.
“Terdapat empat kes kematian berkaitan Covid-19 menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia sebanyak 341 kes.
“Empat kematian ini dilaporkan iaitu satu di Pulau Pinang dan tiga di Sabah melibatkan tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 41 hingga 84 tahun,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.
Noor Hisham berkata, sebanyak 1,673 kes sembuh dicatatkan dan jumlah kes pulih Covid-19 di seluruh negara sebanyak 44,153 kes.
Ujarnya, sebanyak 112 kes positif sedang di rawat di Unit Rawatan Rapi dengan 49 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan. – K! ONLINE