KOTA KINABALU – Seorang bapa tergamak merogol anak perempuan kandungnya berusia lapan beberapa bulan lalu.
Lelaki berumur 45 tahun itu yang kini sudah ditahan polis dipercayai merogol mangsa di rumah sewa keluarga terbabit yang terletak di tingkat dua rumah kedai di daerah Inanam sekitar bulan Mac sehingga Jun.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, kejadian berkenaan hanya diketahui selepas mangsa yang dihantar ke sebuah asrama pelajar mengadu perkara itu kepada penjaga asrama terbabit.
Jelasnya, ibu bapa mangsa menghantarnya ke asrama itu yang menawarkan tempat tinggal percuma untuk pelajar sejak Julai lalu berikutan situasi kedua orang tua mangsa tidak mempunyai sebarang pekerjaan dan tiada tempat tinggal yang tetap.
“Siasatan awal mendapati mangsa mengadu dia diganggu secara seksual oleh suspek sewaktu tinggal bersama keluarganya di rumah sewa mereka.
“Mangsa dikatakan menjerit meminta tolong ketika kejadian berlaku namun ibunya tidak dapat menolong kerana lumpuh dan menggunakan kerusi roda,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut mengenai kejadian itu, Habibi berkata, siasatan turut mendapati ibu mangsa turut sering dipukul mengakibatkan mereka sekeluarga menjadi takut serta trauma kepada suspek.
“Hasil ujian saringan air kencing ke atas suspek juga mendapati lelaki berkenaan positif dadah.
“Mangsa kini dirujuk ke Hospital Wanita Dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) untuk membantu siasatan lanjut bagi proses pendakwaan manakala suspek sudah ditahan reman,” katanya.
Sementara itu, Habibi menyatakan siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan 10 sebatan maksimum, jika sabit kesalahan. – K! ONLINE