fbpx

JKM Perak sedia RM500,000 sedia keperluan asas mangsa banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Norashikin dan Nor Tipah meletakkan pelekat pada van Kempen Prihatin Negara semepan pelancaran Kempen Prihatin Negara peringkat negeri di Kompleks Tanah dan Daerah Kampung Gajah di sini hari ini.

PASIR SALAK – Kerajaan Perak melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memperuntukkan sebanyak RM500,000 bagi menyediakan keperluan asas meliputi makanan, keperluan bayi dan barangan penjagaan diri kepada mangsa banjir di seluruh negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Perak, Datuk Dr. Wan Norashikin Wan Noordin berkata, keperluan mangsa banjir yang ditempatkan di pusat penempatan sementara (PPS) sentiasa dititikberatkan melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah diketuai Pegawai Daerah masing-masing.

“Jawatankuasa itu sentiasa bekerjasama dengan pegawai JKM selain Angkatan Pertahanan Awam serta pihak lain dan memastikan keperluan asas serta kebajikan makan minum mereka dijaga.

“JKM membekalkan peralatan seperti selimut, tikar, penjagaan diri selain membekalkan lampin pakai buang bayi, kita memang menjangkakan banjir (berlaku) berikutan keadaan hujan lebat berterusan yang melanda ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Negara Peringkat Negeri Perak anjuran JKM di Kompleks Pejabat Tanah dan Daerah Kampung Gajah di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Kebajikan Masyarakat Perak, Nor Tipah Majid.

Katanya, setakat jam 10 pagi tadi, banjir yang melanda membabitkan tiga daerah iaitu Manjung, Larut Matang dan Selama serta daerah Hilir Perak dengan empat PPS dibuka membabitkan seramai 325 mangsa.

Beliau berkata, kerajaan negeri bersama agensi terbabit sentiasa bersiap siaga menghadapi kemungkinan banjir melanda beberapa kawasan lain berikutan keadaan cuaca dan hujan yang tidak menentu ketika ini.

Dalam perkembangan lain, ketika diminta mengulas kebajikan penduduk yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di zon B dan C Meru, Norashikin berkata semua penduduk yang terjejas dibantu JKM bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) mengagihkan keperluan makanan kepada mereka.

“JKM terlibat dalam menyalurkan bantuan makanan melalui bakul Program Bakul Makanan kepada penduduk terjejas, kami menghantar bekalan kepada penduduk dan usaha ini mendapat kerjasama yang cukup baik daripada komuniti.

“Selain JKM, komuniti setempat, keluarga dan waris serta NGO turut menyumbangkan bekalan makanan kering dan basah yang dikumpul di dewan orang ramai sebelum ia dihantarkan ke setiap rumah penduduk oleh JKM dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI