KLUANG – “Sudah tujuh tahun suami lumpuh akibat kemalangan jalan raya dan saya sudah berjanji pada diri sendiri ingin setia menjaganya hingga akhir hayat kerana inilah syurga saya.”
Siti Maimunah Md. Jani, 35, berkata, suaminya, Mohd. Firdaus Hamzah, 36, yang bekerja sebagai warden Penjara Kluang lumpuh selepas motosikal Honda EX5 yang ditunggangnya bertembung dengan penunggang motosikal Yamaha RXZ di Jalan Mersing di sini pada 16 Oktober 2013.
“Akibat kemalangan itu, suami saya melambung sebelum kepalanya terhentak pada batu pembahagi jalan dan menyebabkan otaknya cedera parah.
“Sehingga kini dia lumpuh dan dijaga secara bergilir-gilir dengan ibu saya, Cik Saharah Abdullah, 72, di rumah kami,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Melayu (2) di sini baru-baru ini.
Menurutnya, dia akan tetap setia menjaga suaminya yang telah banyak melalui kehidupan susah senang bersama selama ini.
“Kami bercinta dalam tempoh setahun dan kemudian bernikah. Halangan dilalui ketika itu adalah hubungan kami tak direstui.
“Selepas bernikah, tiga kali saya keguguran dan masa dia sihat, kami kaki bisnes, suka cari duit sampingan termasuk menyediakan perkhidmatan dobi rumah ke rumah, mencuci karpet dan toto,” ujarnya.
Siti Maimunah berkata, suaminya itu kini reda dengan ujian menimpa dirinya dan masih boleh bercakap.
“Saya kena sentiasa ada bersamanya, tetapi jika saya keluar bekerja, suami sanggup berlapar dan menunggu saya pulang untuk menyuapkannya.
“Setiap malam saya tanya dia jika saya tiada bolehkah abang uruskan diri, suami cakap dia boleh, tetapi saya tahu sebenarnya dia cuba menjadi kuat.
“Saya selalu memberi inspirasi kepadanya sebagai contoh memintanya cuba untuk angkat kepala atau berbual-bual kosong mengimbas kenangan lama supaya dia tidak lupa,” katanya.
Katanya, dia bersyukur kerana suaminya menerima kira-kira RM2,000 sebulan hasil wang pencen, bayaran hilang upaya kekal dan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Saya juga menerima bantuan berjumlah RM300 sebulan sebagai penjaga daripada JKM sejak 2015 ,” katanya.
Menurut Siti Maimunah, dia sekarang menambah pendapatan dengan berniaga secara kecil-kecilan menjual pelbagai jenis pakaian wanita serta kanak-kanak di kedai Sri Manja Beauty Enterprise, No. 88. Lorong Haji Selamat Kampung Tengah di sini sejak 2018.-K! ONLINE