PASIR SALAK – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengesahkan emosi kanak-kanak perempuan yang terbabit dalam kejadian seorang kanak-kanak lelaki maut tertusuk pisau secara tidak sengaja di Taman Cempaka, Kampung Koh dekat Sitiawan, 13 November lalu semakin positif.
Pengerusi Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Perak, Datuk Dr. Wan Norashikin Wan Noordin berkata, JKM sudah mengadakan dua sesi pertemuan dengan kanak-kanak berusia 12 tahun terbabit dan setakat ini keadaan emosinya dilaporkan semakin pulih.
“JKM akan terus memberi bukan saja kaunseling tetapi sokongan kepada kanak-kanak perempuan itu dan ahli keluarganya.
“Ada perubahan positif dan dengan beberapa sesi pertemuan lagi kita percaya keadaan (emosi) kanak-kanak itu akan bertambah baik,” katanya selepas merasmikan Program Kembara Prihatin Negara di Kompleks Pejabat Tanah dan Daerah Kampung Gajah di sini hari ini.
Hadir sama Pengarah JKM Perak, Nor Tipah Majid.
Wan Norashikin berkata, JKM akan mengadakan pertemuan seterusnya dengan kanak-kanak berkenaan bergantung kepada keperluan dan kebenaran daripada kanak-kanak itu sendiri dan keluarganya.
“Apabila ada keperluan JKM akan turun lagi dan sentiasa bersedia membantu,” katanya.
Kosmo! 16 November lalu melaporkan, keinginan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun untuk menikmati kari kambing sempena Deepavali tidak kesampaian selepas dia maut tertusuk pisau di Taman Cempaka, Kampung Koh di Sitiawan.
Dalam kejadian pada pukul 10.20 malam itu, mangsa, J. Adithiyan yang merupakan anak bongsu daripada tiga adik-beradik meninggal dunia akibat kecederaan parah di dada.
Sementara itu, mengulas mengenai pelancaran Kempen Prihatin Negara peringkat negeri, Wan Norashikin berkata, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah akan menjelajah ke lokasi yang dijadualkan pada setiap minggu dengan pembabitan sektor korporat dan badan bukan kerajaan (NGO).
Katanya, bagi November hingga Disember ini sebanyak 74 lokasi sudah dikenal pasti di seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh Perak.
“JKM Perak mensasarkan 40 jelajah diadakan di setiap kawasan DUN pada setiap bulan hingga November 2021. Antara aktiviti yang dilaksanakan oleh pasukan Kembara Prihatin ini ialah pembukaan kaunter perkhidmatan dan aduan pelanggan bagi memudahkan mereka yang memerlukan, agihan bakul makan selain menyantuni kes kebajikan.
“Program ini akan menjalankan aktiviti di pasar malam, pagi dan tani, taman perumahan, kompleks niaga dan pusat komuniti setempat,” katanya. – K! ONLINE