fbpx

Dua rakan menunggu nasib 15 jam di tengah laut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Johari (kiri) dan Azmi diselamatkan pasukan bomba selepas 15 jam tersadai di tengah laut ekoran enjin bot dinaiki rosak ketika mencari kupang di perairan Sebatu, Sungai Rambai.

JASIN – Aktiviti mencari kupang dua sahabat nelayan berakhir tragedi yang melesukan apabila mereka tersadai selama 15 jam di tengah laut ekoran bot dinaiki mengalami kerosakan enjin di perairan Sebatu, Sungai Rambai di sini.

Mangsa, Johari Jalil, 42, dan Azmi Mohd. Adnan, 37, ditemukan dalam keadaan lesu sebelum dibawa naik semula ke darat oleh sepasukan bomba kira-kira pukul 9.30 pagi tadi.

Menurut Johari, mereka keluar menangkap kupang sejak pukul 3 petang semalam dan merancang untuk pulang semula ke jeti tiga jam kemudian.

“Ketika dalam perjalanan pulang ke jeti kira-kira pukul 6 petang, enjin bot kami tiba-tiba rosak menyebabkan kami dihanyutkan semula jauh ke tengah laut.

“Apabila hari sudah gelap, angin menjadi sangat kuat dan kami hanya mampu berserah kepada Allah agar dilindungi, malah saya juga ada memotong separuh seluar untuk dibakar bagi menarik perhatian bagi bantuan,” katanya ketika ditemui pemberita di Jeti Nelayan Sungai Rambai, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, dia memberitahu mereka juga tidak membawa bekalan makanan kerana bercadang hanya keluar untuk tiga jam.

Kedua-dua rakan itu ditemukan oleh nelayan lain yang kemudian bertindak memanggil pasukan bomba.

Sementara itu, Khairul Azmi berkata, meskipun itu bukan kali pertama berdepan insiden serupa, namun dia tetap risau memandangkan cuaca angin kuat pada musim ini.

“Sebelum ini bot saya pernah tenggelam tetapi tidak jauh dari darat dan saya berenang menyelamatkan diri tetapi kali ini kami amat jauh memang tak boleh buat apa-apa.

“Alhamdulillah tiada hujan sepanjang kami tersadai, cuma angin yang sangat kuat seperti ribut mengelilingi bot kami,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Mohd. Faisal Fuad berkata, seramai sembilan anggota bersama agensi lain digerakkan untuk mencari kedua-dua mangsa.

“Mereka ditemukan selamat dan tidak mengalami apa-apa kecederaan kira-kira enam kilometer dari kawasan darat dan dibawa balik ke Jeti Sungai Rambai oleh pasukan bomba sambil dibantu nelayan tempatan kira-kira pukul 9.30 pagi ini,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI