PARIS – Pengguna sebuah aplikasi solat di Perancis menyaman pengeluar aplikasi itu yang dituduh menjual data pengguna kepada tentera Amerika Syarikat (AS), kata peguam mereka kelmarin.
Sebilangan bekas pelanggan aplikasi berkenaan, Muslim Pro yang mendakwa memiliki 95 juta pengguna di seluruh dunia, memfailkan saman susulan laporan media bahawa syarikat itu berkongsi datanya dengan tentera AS.
Saman itu didedahkan oleh stesen radio Perancis, RTL dan menuduh Muslim Pro melakukan kesalahan perlindungan data, penyalahgunaan kepercayaan, membahayakan nyawa orang lain dan konspirasi melakukan pembunuhan.
Kes itu dijadualkan difailkan hari ini.
Ia susulan laporan oleh kumpulan media Vice pada minggu lalu tentang bagaimana tentera AS membeli data geolokasi pengguna daripada rangkaian aplikasi di seluruh dunia.
Aplikasi itu termasuk Muslim Pro yang memiliki pilihan geolokasi bagi membolehkan pengguna untuk menentukan waktu solat dan arah kiblat.
Pasukan khas AS menggunakan data itu dalam misi di luar negara, kata laporan itu. Difahamkan, data itu digunakan untuk mengesan individu yang mahu dibunuh pasukan khas menerusi serangan dron.
Sehari setelah laporan itu dikeluarkan, Muslim Pro mengatakan pihaknya akan menghentikan semua perkongsian datanya dengan syarikat lain.
Syarikat itu yang ditubuhkan seorang warganegara Perancis berpusat di Singapura itu juga menyatakan bahawa pihaknya juga telah melancarkan siasatan dalaman. – AFP