SEBERANG PERAI – Seekor anjing jenis pitbull dianggarkan bernilai kira-kira RM10,000 yang dibela untuk menjaga haiwan ternakan dilaporkan dicuri di sebuah kandang di Kampung Paya, Butterworth di sini Sabtu lalu.
Pemilik kandang berusia 39 tahun menyedari kehilangan haiwan tersebut kira-kira pukul 2 petang selepas mendapati anjing itu yang diletakkan di dalam sangkar hilang bersama dua pasang rim motosikal.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, pemiliknya menyedari kejadian itu selepas mendapati anjing tersebut yang ditambat dan dikurung di dalam sangkar telah hilang ketika dia pergi ke kandang berkenaan.
“Dia menyedari anjing itu bersama makanannya telah tiada selain empat rim motosikal terpakai yang diletakkan di kawasan kandang juga tiada.
“Menurut pemilik, dia mempunyai lesen untuk membela anjing itu untuk menjaga ternakannya seperti lembu, ayam dan itik,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Noorzainy berkata, pihaknya bagaimanapun menemui semula anjing berwarna hitam itu selepas menahan seorang lelaki di Bagan Ajam, Butterworth kira-kira pukul 11 malam tadi.
“Selain penahanan suspek berusia 21 tahun itu, polis menjumpai anjing tersebut yang disyaki untuk dijual selain dua rim motosikal berwarna merah.
“Siasatan awal mendapati suspek yang mempunyai dua rekod lampau itu mengaku terlibat dalam kegiatan berkenaan seorang diri dan anjing tersebut dipercayai mahu dijual untuk membeli dadah,” katanya lagi.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE