SHAH ALAM – Seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat sarung tangan bergelar Datuk dan isteri didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas membuat tuntutan palsu dan pecah amanah berjumlah lebih RM100juta di antara 2013 hingga 2018.
Tertuduh, Lee Son Hong dan Too Sooi Keng, masing-masing berusia 63 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan berasingan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.
Berdasarkan pertuduhan pertama hingga ketiga, Son Hong didakwa dengan niat telah memperdayakan invois mesin membuat sarung tangan atas nama Tower Success Group Ltd bernilai RM8.38 juta.
Perbuatan itu dilakukan di WRP Asia Pasific Sdn. Bhd., kawasan perusahaan Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang di antara 27 Mac hingga 22 Disember 2015,
Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Pencegahan Rasuah Malaysia yang boleh dihukum dibawah Seksyen 24 (2) akta sama dengan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda atau nilai butir matan yang palsu atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.
Bapa kepada dua anak itu juga didakwa lapan pertuduhan pecah amanah bernilai RM136.9juta milik syarikat WRP Asia Pasific Sdn. Bhd.
Sementara itu, isterinya, Too Sooi Keng, 63, didakwa tujuh pertuduhan bersubahat berjumlah RM107.9juta.
Mereka didakwa melakukan pecah amanah dan bersubahat di syarikat sarung tangan itu bermula Disember 2013 hingga Januari 2018.
Bagi perbuatan itu, pasangan itu berdepan penjara sehingga 20 tahun, sebat dan denda mengikut Seksyen 409 Kanun Kesekaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Ahmad Akram Gharib dan Mohd. Mukhzany Fariz Mohd. Mohktar manakala Peguam P.G. Cyril, Datuk D. Sethinathan dan Nur Aminahtul Mardiah Md. Nor mewakili kedua-dua tertuduh.
Hakim kemudiannya menetapkan jaminan RM1.5juta untuk kesemua pertuduhan dihadapi suami isteri berkenaan, bersama seorang penjamin dan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah.
Tarikh sebutan semula kes ditetapkan 4 Januari 2021. – K! ONLINE