fbpx

Anggota polis cedera motosikal ditendang geng rempit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota URB cedera selepas motosikalnya ditendang geng rempit di Nibong Tebal awal pagi semalam.

SEBERANG PERAI – Seorang anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) cedera selepas motosikal yang ditungganginya ditendang seorang geng rempit di Kampung Tanjung Berembang, Nibong Tebal di sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, anggota terbabit, Konstabel Muhammad Aiman Nordin, 20, mengalami luka pada beberapa bahagian akibat terjatuh.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern berkata, kejadian berlaku selepas anggota terbabit menuju ke lokasi kejadian apabila polis menerima maklumat berhubung aktiviti lumba haram di simpang jalan kampung itu.

“Dua anggota URB ke lokasi dan mendapati terdapat aktiviti itu seperti yang dimaklumkan, namun sekumpulan penunggang motosikal telah berpecah selepas menyedari kehadiran polis.

“Anggota tersebut kemudian mengejar motosikal berkenaan hingga ke persimpangan Jalan Tok Tuntong, namun motosikal anggota URB itu telah ditendang oleh seorang pembonceng,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, kejadian itu mengakibatkan motosikal anggota terbabit hilang kawalan dan terbabas.

“Anggota berkenaan mengalami kecederaan pada tangan kanan, siku dan luka calar pada muka serta mendapat rawatan di Hospital Sungai Bakap.

“Remaja lelaki berusia 16 tahun yang menendang motosikal anggota URB terbabit bagaimanapun berjaya diberkas sejurus insiden tersebut,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI