KOTA KINABALU – Seramai 171 individu ditahan menerusi 162 serbu membabitkan kesalahan Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) sekitar Kota Kinabalu sepanjang tahun ini.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, menerusi jumlah itu, seramai 77 individu yang ditahan sudah dituduh di mahkamah manakala selebihnya masih menunggu laporan daripada pakar judi.
“Sepanjang semua serbuan yang dilaksanakan, polis juga berjaya merampas wang tunai hasil perjudian atas talian berjumlah RM42,052.
“Siasatan awal mendapati, kebanyakan premis perjudian daerah in berselindung disebalik pengoperasian kedai serbaneka untuk mengaburi pihak berkuasa.
“Bagaimanapun, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dengan kerjasama Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) berjaya memutuskan bekalan elektrik ke atas lima premis yang masih berdegil menjalankan aktiviti perjudian,” katanya ketika sidang akhbar selepas melaksanakan operasi khas sebentar tadi.
Habibi berkata, pemotongan bekalan elektrik ini adalah selaras dengan peruntukkan Seksyen 21A ARJT 1953 yang dilakukan berdasarkan rekod serbuan berulang.
“IPD Kota Kinabalu akan terus menggempur premis yang disyaki menjalankan aktiviti perjudian haram dan berharap agar orang ramai sentiasa menyalurkan sebarang maklumat berhubung aktiviti perjudian haram untuk tindakan pembanterasan segera.
“Pesalah boleh dituduh mengikut Seksyen 4(1)(c) ARJT 1953, yang membawa hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun, jika sabit kesalahan,” katanya. – K! ONLINE