ILDI, Dagestan – Presiden Ultimate Fighting Championship (UFC), Dana White berulang kali mengatakan bahawa Khabib Nurmagomedov akan kembali ke gelanggang oktagon selepas mengumumkan persaraannya baru-baru ini.
Bagaimanapun, juara dunia UFC itu menegaskan keputusannya untuk bersara dari sukan itu adalah muktamad dan tidak mahu sekali lagi menjadi alat kepentingan pihak tertentu untuk mengaut keuntungan terutama UFC.
Petinju Rusia tersebut menggantung sarung tangan selepas melakar kemenangan ke atas Justin Gaethje di Abu Dhabi pada Oktober lalu selepas menunaikan janji kepada ibunya yang tidak mahu bertarung berikutan kematian ayahnya, Abdulmanap yang meninggal pada bulan Julai akibat komplikasi Covid-19.
“Akan selalu ada khabar angin mengenai kemunculan semula saya dalam pertarungan. Apa yang boleh saya katakan ketika ini tiada sebarang perancangan untuk kembali bertarung.
“Dana White atau penganjur lain sering memikirkan kemunculan saya dalam pertarungan. Bagi saya, ini semua mengenai wang, liputan media yang meluas hingga menyebabkan mereka terus mengejar saya.
“Anda baru sahaja menyelesaikan satu pertarungan dan peminat segera menantikan perlawanan seterusnya. Mereka selalu mahu rancangan itu berterusan tetapi saya tidak mempunyai rancangan untuk terus turun bertarung.
“Mereka akan mempunyai calon yang lain selepas ini. Mereka sangat pandai meletakkan petinju lain untuk menjadi seorang yang hebat.
“Perjalanan dan jalan cerita seperti ini akan berterusan. Ketika ini saya tetap dengan keputusan saya untuk bersara,” katanya. – AGENSI