fbpx

Usah marah jika dikecam – Najwa Latif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NAJWA LATIF

MEMEGANG dua portfolio dalam satu masa bukanlah perkara yang mudah buat mana-mana individu.

Perkara tersebut turut diakui pelantun lagu Cinta Muka Buku yang kini bergelar seorang daripada tenaga pengajar sebuah universiti swasta di ibu negara.

Malah, ketiadaannya dalam industri hiburan sejak beberapa tahun lalu didorong semangat mahu fokus terhadap kerjaya yang baru diperkukuhkan tapak ketika ini.

BERGELAR pensyarah subjek Bahasa Inggeris di sebuah universiti swasta di ibu negara tidak menghalang semangat Najwa untuk aktif sebagai penyanyi. – AMIR KHALID

Pensyarah

Bukan lagi gadis genit yang sinonim dengan gitar setiap kali muncul dipentas persembahan, pemilik nama penuh Imratul Najwa Abdul Latif itu sebenarnya sudah dua tahun bergelar pensyarah Bahasa Inggeris.

Sepanjang tempoh tersebut, telah banyak pengalaman menarik dan cabaran ditempuhi khususnya ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Sebenarnya memang sukar apabila perlu mengajar secara atas talian kerana banyak juga cabaran yang perlu saya dan para pelajar hadapi.

“Namun, sebagai pensyarah, saya perlu mendepani semua isu berkaitan dengan tenang dan paling penting memahami masalah serta situasi yang dialami para pelajar.

“Antara masalah yang kami hadapi sepanjang mengadakan kelas secara atas talian ialah gangguan akses internet dan kehadiran pelajar dalam setiap sesi pembelajaran online,” kongsinya kepada HibGlam baru-baru ini.

Ujar wanita berusia 25 tahun itu, masalah kelajuan internet merupakan rungutan yang paling banyak diterima daripada para pelajar terutama yang menetap di Sabah dan Sarawak.

“Internet yang lembab antara alasan paling banyak diterima bagi pelajar dari Sabah dan Sarawak.

“Sebagai pensyarah, saya tidak boleh terus menjatuhkan hukum jika mereka tidak mendaftar dalam kelas online. Sebab saya faham situasi tersebut.

“Jadi, sekiranya talian internet mereka tidak laju, saya akan beri salinan video kelas online terdahulu kepada mereka.

“Bagi saya, tolak ansur dengan pelajar sangat penting sebab saya mahu mereka semua mendapat ilmu sama rata.

“Tiada istilah mereka gagal sekiranya tidak mempunyai akses internet. Saya akan cuba membantu sebaik mungkin untuk mereka berjaya,” katanya.

MASIH meneruskan genre muzik bercorak ringan dan easy listening, Najwa turut menyimpan harapan untuk menghasilkan sebuah lagu yang memberi penekanan muzik dan vokal suatu hari nanti.

Baharu

Meskipun sibuk dengan tugasnya sebagai pendidik, Najwa masih terus mengekalkan momentum kerjaya sebagai penyanyi dengan meluncurkan single baharu berjudul Dua baru-baru ini.

Dua merupakan kolaboratifnya bersama penyanyi dan komposer muda, Akwa Arifin.

Najwa memberitahu, Dua merupakan lagu duet keduanya bersama penyanyi lelaki tersebut.

“Selepas melihat lagu Tak Kisah Pun yang dilancarkan pada Jun lalu mendapat sambutan yang baik daripada peminat, saya teruskan lagi kerjasama bersama Akwa untuk Dua.

Mudah bekerjasama dengan Akwa kerana dia banyak idea, malah dia juga seorang yang sangat kreatif sepanjang proses penghasilan dua buah lagu kami.

“Jadi, pemilihan Akwa sebagai artis duet memang tepat dan saya okey sekiranya digandingkan sekali lagi untuk mana-mana projek. Banyak ilmu tentang muzik yang saya belajar daripada Akwa,” ujarnya.

Najwa bersyukur kerana klip video rasmi Dua kini berjaya meraih lebih sejuta tontonan selepas sebulan dimuat naik dalam YouTube.

“Alhamdulillah, memang tidak sangka ramai yang suka dan puji lagu berkenaan. Sokongan semua membuatkan saya lebih bersemangat berkarya lagi,” tambahnya.Dalam pada itu, Najwa juga bercadang untuk melancarkan sebuah lagu yang lebih serius dan mampu menyerlahkan lagi vokalnya sebagai penyanyi yang versatil.

“Memang ada yang minta saya menyanyikan lagu lebih serius dan kurangkan elemen relaks tetapi semuanya bergantung kepada penerimaan peminat.

“Ada yang sudah selesa dengan nyanyian saya begini.

“Saya ada juga perancangan untuk berkerjasama dengan mana-mana komposer bagi menghasilkan lagu lebih serius.

“Saya mahu buktikan kekuatan vokal saya, apa-apa pun semuanya bergantung kepada rezeki.

“Cuma bagi saya, lagu jenis easy listening lebih mudah diterima khalayak hari ini. Jadi, lebih baik saya teruskan dengan genre yang saya selesa,” katanya lagi.

NAJWA ambil pendekatan, jahat jangan dibalas jahat. Jika melenting dan naik marah terhadap kecaman orang, bermakna kita juga sama seperti mereka.

Penyanyi baharu

Berbicara tentang lambakan penyanyi baharu pada hari ini, Najwa berpendapat ramai yang berpotensi untuk terus kekal dalam industri seni.

Bagaimanapun, bekas finalis Anugerah Juara Lagu ke-26 itu turut menitipkan pesanan buat generasi yang baru melangkahkan kaki ke dunia seni.

“Sebagai penyanyi baharu, mereka perlu kuat daripada aspek mental sebab sekarang merupakan zaman kecaman online.

“Mereka tidak boleh cepat melenting atau mengamuk sekiranya dikritik teruk. Paling penting, jangan berbalah dengan netizen.

“Kalau marah sangat, jangan fokus pada 100 orang yang buat kita marah itu tetapi berikan tumpuan terhadap mereka yang masih menyayangi kita walaupun hanya seorang,” kongsinya.

Berkongsi pengalaman sendiri, Najwa juga menerima banyak tunjuk ajar daripada senior untuk terus kuat dan jangan mudah melenting jika ada yang menegur tentang lagu atau kualiti vokal.

“Jangan cepat marah jika vokal kita dikritik, sebab merekalah pendengar karya kita. Biarpun hati rasa geram dengan semua kritikan itu, namun belajarlah tanam sifat sabar dalam diri,” ujar anak kelahiran Batu Pahat, Johor itu.

Tambahnya, sekiranya seorang artis terlalu melayani komen-komen negatif dalam media sosial, mereka akan mudah terpengaruh sehingga memberi kesan tidak baik terhadap diri.

“Kalau orang baling benda tidak baik kepada kita, jangan balas semula sebab itu menampakkan kita sama saja dengan mereka.

“Saya pernah melalui zaman dikecam, dihentam dan dikutuk kerana nyanyian dan imej ketika awal kemunculan dahulu.

“Tetapi berbekalkan sokongan dan semangat daripada keluarga dan peminat, alhamdulillah saya masih berada dalam industri ini,” tutupnya.

 

BERKONGSI pengalaman sendiri, Najwa juga menerima banyak tunjuk ajar daripada senior untuk terus kuat dan jangan mudah melenting jika ada yang menegur tentang lagu atau kualiti vokal.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI