fbpx

Upah RM6,000 seludup 1.5 tan daun ketum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZULKIFLI Mahmood (kanan) menunjukkan daun ketum yang dirampas setelah menahan seorang lelaki di sekatan Jalan Raya (SJR) di Kilometer 9, Jalan Gerik-Jeli berhampiran Sungai Lebey dekat Gerik, Kelmarin.-ASLIZA MUSA

GERIK – Ditawar upah lumayan sehingga RM6,000 menyebabkan seorang lelaki gelap mata dan sanggup mengambil risiko dengan menjadi penghantar daun ketum.

Bagaimanapun, kegiatan lelaki berusia 34 tahun itu terbongkar apabila ditahan dalam sekatan jalan raya (SJR) di Kilometer 9, Jalan Gerik-Jeli berhampiran Sungai Lebey di sini kelmarin.

Lelaki berasal dari Kelantan itu diberkas bersama 150 plastik hitam berisi daun ketum seberat 1.5 tan yang dianggarkan bernilai RM45,000.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, tangkapan ke atas lelaki itu dilakukan selepas suspek gagal memberikan senarai barangan yang dibawa kepada anggota bertugas.

Katanya, pemeriksaan ke atas lori lima tan itu menjumpai barang larangan disyaki daun ketum di bahagian belakang kenderaan berkenaan.

“Siasatan mendapati lelaki itu baru pertama kali melakukan kegiatan tersebut namun operasi sindiket yang menggunakan kenderaan sama itu telah bermula sejak Disember lalu dengan kekerapan empat kali perjalanan dalam tempoh tersebut.

“Bagi tugas tersebut, suspek diberi upah RM4 bagi sekilogram (kg) daun ketum dan jumlah keseluruhan upah yang diterima jika dia membawa 1,500kg daun ketum adalah sekitar RM6,000,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik di sini hari ini.

Menurut beliau, berdasarkan siasatan, suspek bergerak dari Kelantan pada sebelah pagi dan akan berpatah balik pada hari sama pada sebelah malam.

Katanya, bekalan daun ketum itu diambil daripada seorang lelaki di sebuah kampung di Sik, Kedah untuk dijual bagi pasaran sekitar kawasan Pantai Timur.

“Nilai pasaran semasa di sekitar Pantai Timur adalah RM30 bagi 1kg daun ketum dan anggaran hasil jualan keseluruhan bagi 1,500kg rampasan berjumlah RM45,000.

“Siasatan mendapati, penyeludupan daun ketum didalangi sindiket itu cuba mengambil kesempatan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat bagi mengaburi mata pihak berkuasa dengan menggunakan kenderaan perdagangan,” katanya.

Suspek yang tidak mempunyai rekod lampau itu direman empat hari sehingga Rabu ini untuk siasatan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI