LUMUT – Seekor ular sawa yang kekenyangan dipercayai selepas membaham monyet ditemui dalam sangkar haiwan mamalia itu di pejabat Renjer Hutan Lumut di sini hari ini.
Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Manjung berkata, reptilia sepanjang lebih tiga meter itu dipercayai baru sahaja menelan dua ekor monyet dalam sangkar tersebut.
“Kami menerima panggilan kecemasan daripada pejabat Renjer tersebut memaklumkan kejadian itu pada pukul 8.47 pagi sebelum lima anggota bergegas ke lokasi berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, kakitangan pejabat tersebut menyedari kehadiran ular sawa Batik itu dalam perangkap monyet sebaik memeriksa sangkar tersebut sebelum menghubungi talian kecemasan untuk bantuan lanjut.
Menurut beliau, kakitangan pejabat tersebut meletakkan perangkap kerana terdapat banyak monyet yang menceroboh kawasan pejabat mereka.
Beliau berkata, sehingga semalam, terdapat tujuh monyet yang berada dalam sangkar tersebut.
“Bagaimanapun, apabila memeriksa sangkar itu pagi tadi, didapati hanya ada lima ekor monyet yang sedang bergayut atas sangkar manakala seekor ular sawa kekenyangan berada di dalamnya,” katanya.
Menurutnya, anggota APM mengambil masa kira-kira 15 minit untuk menangkap ular tersebut yang bertindak agresif ketika tindakan penangkapan dilakukan.