WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) sudah lama menjadi juara demokrasi dunia, malah Washington turut mendesak pemimpin lain supaya menyerahkan kuasa sekiranya tewas dalam pilihan raya.
Bagaimanapun, Presiden Donald Trump mencorakkan model baharu demokrasi AS apabila enggan mengaku kalah. Beliau juga membuat tuduhan melulu bahawa pilihan raya AS penuh penipuan dan meminta campur tangan mahkamah serta sekutu-sekutu politik dengan harapan dapat mengubah kekalahannya kepada Joe Biden.
Ahli politik dan pakar yang diwawancara agensi berita AFP bimbang cara politik Trump akan menjadi ikutan di negara-negara yang mana sistem demokrasinya rapuh terutama di Afrika. Mereka khuatir pemimpin lain akan menjadikan Trump contoh untuk terus berkuasa.
“Keenganan Trump mengaku kalah mengukuhkan pendirian pemimpin-pemimpin di Afrika bahawa pilihan raya perlu dilaksanakan menerusi cara itu supaya mereka tidak kalah,” kata Ahmat Alhabo yang merupakan setiausaha agung parti pembangkang Chad, Parti Kebebasan dan Pembangunan.
Pakar politik Universiti Zimbabwe, Eldred Masunungure berkata, Trump menyanyikan lagu ‘senandung’ kepada pemimpin autokratik di seluruh dunia.
“Ini tragis. Kami sudah biasa melihat perkara ini di Afrika, namun apabila ia berlaku di AS, kami terkejut kerana negara itu mengamalkan demokrasi sejak ratusan tahun dahulu.
“Ini adalah taktik kotor yang akan dijadikan teladan oleh pemimpin kami. Mereka akan menjadikan Trump contoh apabila tidak mahu mengaku kalah selepas tewas pada masa hadapan,” kata Masunungure.
Legenda catur Rusia, Garry Kasparov yang juga pengkritik Presiden Vladimir Putin berkata, serangan Trump ke atas demokrasi akan mengakibatkan banyak serangan serupa di masa hadapan sama ada di AS atau negara-negara lain.
“Demokrasi dipertikaikan, perkara ini impian Putin,” katanya dalam komen di Twitter.
Pakar promosi demokrasi, Thomas Carothers memberitahu, negara seperti Rusia, China dan Mesir sangat memerlukan petua daripada Trump mengenai cara mengelakkan pilihan raya yang kompetitif dan adil.
Menurutnya, pemimpin-pemimpin lain melihat bagaimana Trump terang-terangan mengisytiharkan kemenangan lalu mendapat sokongan, walaupun jelas Biden mengatasinya dengan kelebihan hampir enam juta undi. Malah, Biden mendapat 306 undi elektoral yang menentukan pemenang pilihan raya AS.
“Mereka melihat kekuatan pendekatan Trump, bahkan rakyat AS yang berpendidikan dan canggih pun boleh tertipu,” kata Carothers.
Beliau memberikan contoh kecaman Trump terhadap berita palsu iaitu istilah digunakan oleh pemerintah di seluruh dunia untuk menutup mulut media.
Pilihan raya AS kerap bermasalah. Antara pilihan raya paling berantakan adalah pada tahun 2000 apabila Mahkamah Agung mengekalkan kemenangan George W. Bush di Florida dengan kelebihan cuma 537 undi. Undang-undang negeri Florida memerlukan undi tersebut dikira semula kerana perbezaannya begitu kecil, namun ia tidak berlaku. – AFP