KUALA TERENGGANU – Mahkamah Sesyen di sini hari ini terpaksa menangguhkan kes dua lelaki warga Myanmar yang dituduh merogol gadis golongan orang kelainan upaya (OKU) di Ajil, Hulu Terengganu pada 11 November lalu.
Hakim Nooriah Osman memutuskan demikian selepas kedua-dua tertuduh berusia 23 dan 36 tahun itu mendakwa tidak memahami pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Melayu.
Beliau kemudiannya menetapkan 3 Disember depan untuk sebutan semula kes bagi tujuan penyediaan khidmat jurubahasa Myanmar.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zulfazliah Mahmud manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu mereka sepatutnya didakwa mengikut mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Kosmo! 15 November lalu melaporkan dua buruh binaan warga Myanmar berkenaan ditahan polis kerana disyaki memperkosa seorang gadis orang kelainan upaya (OKU) pekak dan bisu terbabit.
Dua suspek berkenaan disyaki merogol mangsa yang berusia 23 tahun di dalam sebuah tapak pembinaan yang terletak kira-kira 50 meter dari rumah mangsa. – K! ONLINE