BERLIN – Penyerang prolifik Borussia Dortmund, Erling Braut Haaland meletakkan dirinya dalam kelas tersendiri apabila berjaya meledak empat gol menewaskan Hertha Berlin 5-2 pada aksi Bundesliga di Olympiastadion awal pagi semalam.
Kecemerlangan itu melengkapkan hari yang cukup istimewa buat Haaland, 20, selepas dia dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Budak Emas 2020 beberapa jam sebelum perlawanan tersebut.
“Saya bangun hari ini dengan satu kejutan (Anugerah Budak Emas 2020). Kemudian saya menamatkan hari ini dengan empat gol dan kemenangan yang cukup manis buat pasukan,” kata Haaland.
Sebagai rekod, keempat-empat gol Haaland itu dijaringkan dalam separuh masa kedua pada minit ke-47, 49, 62 dan 79 sementara satu lagi jaringan Dortmund diperoleh menerusi Raphael Guerreiro (m-70).
Berlin pula terpaksa akur dengan kekalahan itu disebabkan ketajaman bintang Norway tersebut selain mereka sekadar berupaya meledak dua gol sahaja melalui Matheus Cunha.
Lebih manis, empat gol itu menyaksikan Haaland kini ketinggalan dua jaringan sahaja lagi untuk memintas pendahulu senarai penjaring terbanyak Bundesliga daripada bintang Bayern Munich, Robert Lewandowski.
Bukan itu sahaja, ia juga membantu Dortmund melonjak ke tangga kedua menerusi pungutan 18 mata, satu di belakang juara bertahan, Bayern yang sekadar seri 1-1 dengan Werder Bremen di Allianz Arena kelmarin. – AGENSI