PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil langkah berwaspada dengan menjalankan saringan kepada mangsa banjir yang ditempatkan di pusat penempatan sementara (PPS) di seluruh negara.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, saringan tersebut tidak dilaksanakan secara keseluruhan untuk semua mangsa banjir sebaliknya hanya individu yang bergejala.
“Saringan ini kalau ada gejala tetapi (saringan) bukan keseluruhan (mangsa banjir) melainkan sekiranya ada kes kontak rapat kepada kes positif dikesan.
“Jadi kita akan menjalankan pengesanan aktif dan sebagainya,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada KKM akan menjalankan saringan kepada mangsa banjir di PPS dengan mengambil iktibar dari kes kluster membabitkan penjara.
Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, KKM telah membangunkan panduan pencegahan dan pengurusan Covid-19 di PPS dan boleh diguna pakai oleh semua pihak bagi memantau keadaan dari semasa ke semasa.
“Malah, kita meletakkan tanda peringatan supaya patuh prosedur operasi standard (SOP) dan dalam keadaan banjir ini, banyak tindakan kita menjurus kepada elak jangkitan Covid-19 di PPS.
“Sebagai contoh, meletakkan kubikal dan penghadang dijarakkan dua meter dan kita pastikan ada tempat untuk mencuci tangan, sentiasa memakai pelitup muka serta memastikan untuk mematuhi SOP.
“Selain itu, perlu jaga kebersihan semasa banjir kerana bukan sahaja bagi mengelakkan penyakit Covid-19 tetapi termasuk penyakit berjangkit lain,” katanya.
Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, semua Jabatan Kesihatan Negeri juga telah dimaklumkan untuk melihat tindakan semasa musim banjir ini dan kesiapsiagaan ini berbeza sedikit berbanding tahun sebelumnya. -K! ONLINE