fbpx

MotoGP: Khairul Idham ucap selamat tinggal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KHAIRUL IDHAM mengucapkan selamat tinggal pada saingan MotoGP selepas kontraknya tidak lagi disambung bagi saingan musim depan.

SIAPA sangka, empat tahun dahulu seorang budak berusia 17 tahun dari Kampung Gajah, Perak, Khairul Idham Pawi mampu mengejutkan jutaan rakyat Malaysia susulan kejayaannya meraih dua kemenangan pada Grand Prix (GP) Argentina dan Jerman pada Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) dalam kelas Moto3 pada tahun 2016.

Bagaimanapun, kejayaan tersebut sekadar menjadi memori bersejarah buat pelumba yang terkenal dengan gelaran Super KIP itu selepas saingan GP Portugal kelmarin menjadi salam perpisahan terakhirnya dengan pasukan Petronas Sprinta Racing (PSRT).

Impian KIP untuk meneruskan perjalanannya dalam saingan Moto3 musim depan berakhir selepas PSRT tidak menyambung kontraknya berikutan masalah prestasi.

KIP gagal meraih sebarang mata musim ini selepas dilihat bergelut mendapatkan rentak semula berikutan kecederaan yang menimpanya serta pembedahan membuang jari kelengkeng pada tangan kanannya.

“Apa pun, hari ini merupakan detik penting untuk saya mengucapkan terima kasih kepada PSRT untuk tempoh dua tahun ini bersama mereka. Terima kasih kerana sudi membantu saya dalam setiap perlumbaan dari awal musim hingga ke hari ini.

“Saya menikmati dan menempuhi perjalanan karier saya bersama pasukan ini dan saya ucapkan semoga maju jaya pada masa akan datang,” kata KIP dalam satu kenyataan semalam.

KIP masih belum mengumumkan perancangannya untuk meneruskan kariernya dalam perlumbaan motosikal meskipun sebelum ini dia berhasrat untuk beraksi dalam saingan Kejuaraan Motosikal Eropah (CEV) musim depan.

Tempat KIP dalam saingan Moto3 diambil alih oleh Darryn Binder dan akan menyertai John McPhee musim depan.

Mengulas perlumbaan di Litar Antarabangsa Algarve di Portimao kelmarin, KIP mengakui agak sukar untuknya berada di kedudukan baik selepas dikenakan penalti long lap.

“Pusingan pertama tidaklah begitu teruk, namun saya dikenakan penalti menyebabkan saya ketinggalan di atas litar. Namun kemudian saya dapat mengekori Gabriel Rodrigo (Kommerling Gresini). 

“Saya cuba mengikutnya tetapi pada tiga pusingan terakhir saya bergelut dengan beberapa masalah terutama di tayar belakang. Terdapat gegaran di bahagian tersebut sehingga menyukarkan saya untuk memintas mereka,” ujarnya. K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI