LONDON – Selepas berakhir saingan MotoGP, pelumba Itali, Franco Morbidelli akan beralih untuk menyertai perlumbaan Kejohanan Rali Dunia (WRC) Monza pada 3 hingga 6 Disember depan bersama pasukan Hyundai Rally Team Italia.
Pelumba Yamaha Petronas SRT itu yang meraih tiga kemenangan musim ini dalam saingan MotoGP akan beraksi dalam kelas WRC3 dengan mengemudi jentera Hyundai i20 R5.
Bagi pelumba berusia 25 tahun itu, ia merupakan peluang dan pengalaman terbaik yang diberikan kepadanya untuk mencari pengalaman berbeza dari dua roda ke perlumbaan empat roda.
“Saya terkejut selepas mendapat tawaran untuk beraksi dalam perlumbaan berprestij seperti WRC. Ini merupakan peluang yang luar biasa dan pelumba terbaik beraksi dalam perlumbaan itu.
“Saya perlu cepat belajar untuk mengemudi jentera rali yang sudah pasti ia bukan tugas mudah. Saya perlu mendapatkan keserasian dengan jentera dalam waktu yang singkat ini.
“Saya akan menjalani latihan bersama pelumba rali berpengalaman seperti Umberto Scandola untuk melepasi ujian pertama nanti,” katanya.
Morbidelli yang menjuarai MotoGP San Marino, Teruel dan Valencia itu akan mengikuti jejak mentornya, Valentino Rossi. Pelumba Itali itu sudah menjuarai Rali Monza sebanyak tujuh kali. – AGENSI