PETALING JAYA – Seorang lelaki maut apabila motosikal ditunggangnya terbabas selepas melanggar lopak air dalam kejadian di Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran Taman Layang-Layang di sini hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, dalam kejadian pukul 1 tengah hari itu, mangsa Wong Chun Hung, 20, yang menunggang motosikal jenis MZ Motorrad disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Hasil siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila mangsa yang bergerak di lorong kiri terlanggar lopak air dan terbabas lalu terjatuh di lorong tengah menyebabkan sebuah lori lima tan melanggar mangsa.
“Akibat pelanggaran tersebut, mangsa tersepit di bawah lori dan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE