KUALA LUMPUR -Lebih 100 televisyen litar tertutup (CCTV) akan dipasang oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi meningkatkan penguatkuasaan membanteras kegiatan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menjalankan perniagaan di Pasar Borong Kuala Lumpur.
Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata, CCTV tersebut dilengkapi ciri teknologi pengecaman wajah itu akan membolehkan kerja pemantauan dan kawalan di dalam serta luar pasar borong di Selayang itu dibuat dengan lebih rapi.
“Masih terdapat peniaga yang berniaga di tempat terlarang secara tersembunyi dengan berniaga di luar pagar pasar borong dan laluan pejalan kaki telah menghalang lalu lintas membabitkan peniaga dalam kalangan Pati.
“Bukan hanya di dalam pasar borong, CCTV juga akan dipasang di sekeliling kawasan luar pasar borong untuk pemantauan penguat kuasa DBKL, kita akan terus perbaiki dari semasa ke semasa,” katanya pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Mural dan Grafiti di pasar borong Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam majlis tersebut, Annuar meluangkan masa meninjau transformasi pasar borong itu yang kini lebih selesa, bersih, ceria dan bebas pekerja asing menerusi pelaksanaan penambahbaikan daripada aspek pengurusan dan tadbir urus.
Antara transformasi dan naik taraf dilakukan ialah tambahan stesen kerja bilik kawalan, pas pemborong dan pekerja menggunakan imbasan kod QR, pagar, serta kawasan tempat letak motosikal.
Sementara itu, Annuar berkata, pembinaan kemudahan asrama dengan lebih 200 katil untuk pekerja pasar borong Kuala Lumpur kini siap sepenuhnya dan dijangka digunakan mulai bulan depan.
Katanya, DBKL akan membuka tawaran dan berunding dengan pemegang lesen peniaga pasar untuk membahagikan kuota tempat pekerja yang memerlukan kemudahan itu kerana tiada tempat tinggal atau masalah sewa bilik mahal.
“Kemudahan ini bakal menawarkan sewa serendah RM150 sebulan selain memudahkan pekerja pasar untuk berulang-alik ke tempat kerja, sekali gus menarik pekerja tempatan termasuk dari luar ibu negara,” ujarnya.-K! ONLINE