fbpx

‘Joe Kedah’ dalang penipuan forex RM21 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zainuddin menunjukkan kenderaan mewah yang dirampas daripada sindiket pelaburan forex haram.

KUALA LUMPUR – Polis menumpaskan satu sindiket pelaburan forex haram membabitkan kerugian hampir RM21 juta selepas memberkas 10 individu dalam empat serbuan pada Khamis lalu.

Tangkapan ke atas suspek 10 suspek termasuk dalang utamanya yang dikenali sebagai ‘Joe Kedah’ itu dilakukan di sekitar ibu negara, Cyberjaya, Shah Alam dan Kajang.

Difahamkan, Joe Kedah,42, ditahan bersama kekasihnya warga Indonesia di sebuah kondominium di Shah Alam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, tangkapan dibuat susulan pihak polis menerima 72 laporan berkaitan penipuan pelaburan forex itu selepas kesemua mangsa mendapati platform pelaburan itu tidak boleh diakses.

Katanya, sindiket menjanjikan keuntungan lima hingga lapan peratus setiap bulan melalui satu platform yang dikenali sebagai EssenseFX menggunakan aplikasi Metatrade 4.

“Sindiket ini beroperasi sejak awal tahun lalu hingga Februari lepas dan sudah mengaut keuntungan hampir RM21 juta.

“Hasil siasatan lanjut mendapati dalang utama sindiket berkenaan hidup serba mewah dengan hasil penipuan tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Menara KPJ, Jalan Tun Razak di sini hari ini.

Menurutnya lagi, dalam serbuan tersebut pihak polis merampas 10 buah kereta mewah jenis Porsche Macan, Ford Mustang, Audi, Range Rover Evoque, dua Toyota Vellfire dan empat buah BMW.

“Turut dirampas 17 buah telefon bimbit, komputer riba (4), kad mesin teler automatik (ATM), pelbagai dokumen syarikat serta wang tunai RM10,000.

“Kesemua suspek berusia 24 hingga 42 tahun itu direman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Zainuddin berkata, orang awam yang menjadi mangsa sindiket pelaburan itu diminta tampil membuat laporan bagi membantu pihak polis menjalankan siasatan lanjut.

“Selain itu, dalam usaha membanteras aktiviti pelaburan haram orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah percaya dengan janji-janji manis sindiket,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI