fbpx

Jeritan selamatkan dua beranak dalam kebakaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd Zuhairi mencari barang yang terselamat selepas rumahnya di Kampung Kepala Bukit, Tualang terbakar pada semalam.

ALOR SETAR – Jeritan seorang penduduk berjaya menyelamatkan dua beranak daripada terperangkap dalam kebakaran melibatkan empat buah rumah di Kampung Kepala Bukit di Tualang, Pokok Sena dekat sini semalam.

Kawasan perumahan tersebut merupakan bekas pondok pengajian Islam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.15 petang itu, Mohd. Zuhairi Abd. Rashid, 38, yang sedang tidur terjaga kerana berasa panas bahang sebelum mendengar penduduk menjerit api.

Kata Mohd. Zuhairi, dia kemudian mendengar bunyi ketukan pintu meminta mereka menyelamatkan diri.

“Saya terus mencari ibu, Sophiah Ismail, 67, dan terus membawanya keluar dari rumah dan terus bergegas ke bahagian belakang rumah dan cuba memadam api, namun gagal kerana api terus marak.

“Saya hanya sempat menyelamatkan beberapa dokumen diri sahaja sementara semua pakaian gagal diselamatkan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Menurut Mohd. Zuhairi, dia difahamkan sebelum kejadian, beberapa rumah di kawasan tersebut terputus bekalan elektrik selepas berlaku dentuman kilat yang kuat.

“Tidak lama kemudian ada penduduk ternampak api pada sebuah rumah tidak berpenghuni yang terletak di belakang rumah saya,” katanya.

Tambahnya, dia mengalami kerugian kira-kira RM120,000 dalam kejadian itu.

Seorang lagi penduduk, Ramlah Abdullah, 64, pula berkata, kebakaran itu mengingatkannya kembali peristiwa pada 1963 apabila pondok pengajian agama di situ musnah dalam kebakaran.

Menurut Ramlah, sebelum ini tapak rumah yang mereka tinggal merupakan pondok pengajian agama tetapi ditutup setelah mudir pondok di situ meninggal dunia.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, kebakaran melibatkan tiga rumah dua tingkat dan sebuah rumah setingkat selain dua buah kereta dan lima motosikal. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI